Bakal jemaah haji meninggal di Makkah akibat pembuluh darah pecah


  • Primer
  • Ahad, 26 Mei 2024

Perkhidmatan 'badal haji' (upah haji) percuma akan disediakan buat jemaah Malaysia yang meninggal dunia itu. — Gambar hiasan

SEORANG jemaah haji Malaysia berusia 72 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah selepas mengalami salur darah pecah pada Jumaat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perpisahan jemaah haji Malaysia di Sepang Selangor pada Sabtu, beliau berkata, Abnil Hajar Ismail dari Jitra, Kedah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada pukul 10.30 malam.

“Dua hari lalu, kami menerima berita sedih kematian pertama jemaah haji Malaysia, melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun. Kematian itu disebabkan saluran darah yang pecah. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan. Cuaca agak panas, jadi kalau boleh duduk di masjid atau hotel yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH)," katanya.

BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest

BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar

Mohd Na'im berkata, TH akan menyediakan perkhidmatan 'badal haji' (upah haji) percuma untuk Abnil Hajar, dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada keluarganya.

Badal haji merujuk kepada pelaksanaan haji bagi pihak seseorang yang telah meninggal dunia tanpa menunaikannya, atau bagi seseorang yang tidak mampu dari segi fizikal.

Sementara itu, Mohd Na'im mengingatkan bakal jemaah haji supaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah haji dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

2251361

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, operasi haji yang diuruskan TH berjalan lancar, dengan 16,000 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah dan Makkah sejak penerbangan pertama pada 9 Mei lalu.

“TH sentiasa diingatkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.

“Saya berpesan kepada jemaah haji yang telah tiba di Tanah Suci dan mereka yang bakal berlepas supaya sentiasa memperkasakan ilmu berkaitan ibadah haji,” katanya.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas untuk musim haji 1445H/2024, yang bermula pada 9 Mei, dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 9 Jun depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram