'Maestro’ sang Badak kelahiran sistem bola sepak FC Porto raih pujian ramai


  • Podium
  • Ahad, 26 Mei 2024

Kesebelasan utama Sabah FC yang diturunkan Ong Kim Swee ketika menewaskan Kuching City pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

HADIR dengan pengalaman yang luas di benua Eropah, Telmo Castanheira sekali lagi berjaya mencuri tumpuan orang ramai selepas mempamerkan aksi menakjubkan ketika membantu Sabah FC menewaskan Kuching City FC di halaman sendiri, Stadium Likas, Sabah dengan keputusan 2-1 pada Sabtu.

Walaupun tidak mencatatkan nama selaku penjaring gol buat Sabah, Telmo berjaya mengawal bahagian tengah Sang Badak dengan bantuan Stuart Wilkin.

Dalam perlawanan itu, Telmo dilihat cukup rajin untuk turun ke bawah bagi membantu bahagian pertahanan untuk menghalang asakan daripada pihak lawan.

BACA LAGI: Pertembungan '2 vs 2' bintang tumpuan jadi penarik aksi The Jangs-Gergasi Merah

BACA LAGI: Muncul jadi MOTM, penyokong Harimau Kumbang ‘request’ Penang FC tebus kontrak import pinjaman Selangor

Telmo

Telmo (kiri) dinobatkan sebagai MOTM dalam perlawanan menentang Kuching City pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

Malah ketika membina serangan, pemain berusia 32 tahun itu juga berada di atas untuk membantu Darren Lok dan Ramon Machado menerjah gawang gol lawan.

Gerakan yang dimulai oleh Telmo juga mendatangkan hasil apabila pemain gantian, Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew berjaya menjaringkan gol selepas pertahanan lawan melakukan kesilapan pada minit-minit akhir permainan.

Disebabkan aksi yang baik ditonjolkan import kelahiran Portugal itu, dia diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM) sekali gus mendapat persetujuan dalam kalangan penyokong Sang Badak.

“Paling layak terima, rasanya jarak ‘covered’ dia paling tinggi sama dengan Gabby (Gabriel Peres), hantaran berbahaya pun banyak.

“Walaupun dia (Telmo) ini pergerakannya perlahan tapi ‘defensive play’ pun tinggi, Pedro Henrique (Kuching City) ada dalam poket dia,” kata Mohd Hapiz.

“Memang layak! Saya nampak dia (Telmo) sangat bekerja keras, yang lain bekerja keras juga, cuma dia lebih layak untuk dapat MOTM,” ujar Christabel L. Vincent.

“Jarang dengar nama dia tadi (Sabtu), mungkin sebab banyak rampas bola sebab memang tadi Sabah menang total di bahagian tengah,” jelas Zukmin Oky.

Untuk info, Sabah merupakan pasukan pertama buat Telmo di Asia kerana sebelum ini dia banyak menimba pengalaman beraksi sekitar Eropah seperti Portugal dan Iceland.

Pemain berketinggian 1.85 meter (m) itu sebenarnya merupakan graduan daripada kelab gergasi Portugal, FC Porto yang telah melahirkan banyak bintang-bintang antarabangsa seperti Joao Mario, Bruno Alves, Ricardo Carvalho, Ruben Neves dan beberapa pemain lain lagi.

Aksi baik bersama Sang Badak musim lalu telah menyebabkan pengendali Sabah, Ong Kim Swee mengekalkan khidmatnya untuk mengharungi cabaran musim 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram