Kelantan FC perlu lupakan sasaran 'Top 10', fokus bahagian getir


  • Podium
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Kelantan FC kini menghuni tangga ke-13 liga apabila hanya meraih empat mata daripada sembilan perlawanan yang diharungi. — Facebook/TRW Kelantan

KELANTAN FC memulakan Liga Super 2023 dalam keadaan yang agak terumbang ambing ekoran daripada isu yang berlaku di dalam dan di luar padang.

Masalah dihadapi skuad The Red Warriors bermula apabila pasukan gagal mencatatkan keputusan agak positif dalam enam perlawanan apabila hanya merekodkan satu menang, satu seri dan empat kekalahan.

Perkembangan itu menyebabkan Kelantan menjadi pasukan pertama memecat jurulatihnya iaitu Choi Moon-sik seawal minggu keenam liga.

Langkah pemecatan tersebut juga menimbulkan beberapa isu lain selepas ejen jurulatih daripada Korea Selatan itu membongkarkan beberapa masalah yang didakwa berlaku membabitkan pihak pengurusan dan pasukan.

Antara yang dibangkitkan adalah isu campur tangan pemilik dalam pemilihan pemain ketika perlawanan dan kelewatan dalam pembayaran gaji.

Dalam pada itu, pasukan Kelantan FC juga dikejutkan dengan penamatan kontrak tiga orang pemainnya termasuk dua tonggak import iaitu bekas pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Carli De Murga dan Cristian Rontini.

Beberapa perkembangan yang berlaku itu dilihat secara langsung menganggu moral dan tumpuan barisan pemain untuk memberikan prestasi terbaik.

Di sebalik pertukaran jurulatih yang dibuat, TRW yang kini dibimbing oleh jurulatih baharu kelahiran Jerman, Frank Bernhard masih gagal mencari momentum yang positif.

TRW

Ketua Jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt (kanan).

Dua perlawanan terakhir liga diharungi Kelantan FC di bawah kendalian bekas Ketua Jurulatih UiTM FC itu menyaksikan pasukan tewas masing-masing di tangan Selangor FC 3-0 dan Sabah FC 6-1.

Dengan keputusan tersebut, TRW kini berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan tujuh kekalahan daripada sembilan perlawanan dihadapi.

Pemerhati bola sepak tanah air, Zuraimi Zukri berkata, dengan prestasi semasa ditunjukkan pasukan, TRW perlu melupakan sasaran untuk berada di kedudukan 10 teratas liga seperti ditetapkan pemiliknya, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Dia sebaliknya berkata, pasukan harus menumpukan usaha bagi memperbaiki isu kebocoran di barisan pertahanan yang ketika ini dilihat agak kritikal.

Untuk rekod, daripada sembilan perlawanan yang diharungi, Kelantan dibolosi sebanyak 31 kali, menjadikannya sebagai pasukan paling banyak dibolosi pada musim ini.

Apa yang merisaukan, jumlah tersebut dilihat agak besar berbanding pasukan lain.

Kuching City FC yang menjadi pasukan kedua tertinggi merekodkan sebanyak 18 bolos diikuti Perak FC (17).

trw 2

Kelantan FC merekodkan jumlah bolos tertinggi dengan 31 gol setakat sembilan perlawanan Liga Super 2023. — Facebook/SabahFC

"Lupakan 10 teratas, perbaiki isu bolos dahulu. Kelantan berada di landasan untuk cipta bolos tertinggi dalam liga format 14 pasukan.

"Kalau trend sekarang konsisten, fans Kelantan perlu bersedia pasukan kita akan menamatkan kempen dengan bolos 80 gol," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, jika kemungkinan jumlah 80 bolos itu menjadi kenyataan, Kelantan FC bakal mencipta rekod sebagai pasukan paling banyak ditembusi dalam saingan liga untuk tempoh semusim.

Katanya, rekod bolos terbanyak itu ketika ini disandang oleh PDRM dengan jumlah sebanyak 75 yang dicatatkan pada musim 2010.

Kelantan FC akan bertemu Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam dua perlawanan seterusnya yang akan berlangsung selepas tamat tempoh cuti Aidilfitri.

Format Liga Super 2023 menyaksikan tiada penyingkiran dilaksanakan terhadap mana-mana pasukan di akhir musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram