AFL sahkan terima permohonan Kelantan beraksi di Liga M3 musim depan


  • Podium
  • Isnin, 19 Feb 2024

Masa depan skuad TRW dalam arena bola sepak tanah air terus menimbulkan tanda tanya. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEGAGALAN Kelantan FC menghantar dokumen sah yang diperlukan untuk beraksi dalam Liga Super musim depan menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghalang cita-cita mereka itu.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, isu gaji dihadapi skuad The Red Warriors (TRW) menjadi batu penghalang utama kepada penyertaan mereka dalam divisyen teratas.

Jadi, dalam misi meneruskan harapan mewarnai arena bola sepak tanah air, mereka difahamkan terpaksa beraksi dalam Liga M3 anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) musim depan.

Kos operasi yang lebih rendah di samping perbezaan tahap kompetetif menyaksikan pilihan itu lebih baik berbanding sekiranya kelab Pantai Timur tersebut terus membuat rayuan untuk ke Liga Super.

BACA LAGI: Lepas lama menyepi, TRW buat 'comeback' adakan acara tahunan

raimi-fikri-afl

Raimi Fikri mengesahkan sudah menerima permohonan sejak Januari lalu. — Stadium Astro

Bagaimanapun, penyertaan mereka ke Liga M3 2024/25 berdepan cabaran tersendiri setelah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFL, Mohd Raimi Fikri mahu memberi keutamaan buat pasukan musim lalu.

Isu tersebut dilihat hanya merumitkan nasib Kelantan FC untuk kembali bangkit pada tahun-tahun akan datang setelah reputasi mereka tercalar sepanjang 2023.

Tetapi, penyokong skuad TRW boleh menarik sedikit nafas lega apabila Raimi mengesahkan pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada kelab tersebut.

Jelasnya, Kelantan FC sudah menyatakan hasrat mereka untuk bersaing di Liga M3 menerusi permohonan bertarikh 7 Januari lalu dan pihaknya akan meneliti setiap sudut sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

BACA LAGI: Konflik Kafa-TRW belum berakhir, perbicaraan penuh pada 20 Februari

WhatsApp Image 2024-02-19 at 12.23.06

Sarawak United dan Melaka FC merupakan dua bekas kelab Liga Super beraksi di Liga M3 ketika ini. Facebook/Melaka United

"Saya tak menafikan memang kita ada terima permohonan rasmi daripada Kelantan untuk bermain di MBSB Bank Championship. Cumanya seperti yang saya maklumkan sebelum ini, fokus kita adalah untuk 14 pasukan yang layak secara merit.

"Kita akan perhalusi juga permohonan Kelantan cumanya mereka diletakkan asing daripada 14 pasukan. Kalau kata ada sebarang penarikan diri atau pun pasukan-pasukan daripada 14 pasukan ini boleh memberikan pengesahan mungkin ada ruang untuk pasukan Kelantan," katanya.

Sekiranya Kelantan FC disahkan berentap dalam pertandingan itu musim depan, mereka akan menyertai dua lagi bekas pasukan Liga Super, iaitu Melaka United FC dan Sarawak United FC yang turut dihalang beraksi di divisyen teratas berikutan isu tunggakan gaji pada 2022.

Tambah Raimi lagi, saingan Liga M3 musim depan akan membuka tirainya pada 3 Mei depan dengan penyokong pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kesemua pasukan yang bertanding.

Antara kelab yang pasti menjadi tumpuan ialah Harini FT, Kuala Lumpur (KL) Rovers serta juara bertahan, Imigresen FC kerana masing-masing memberi saingan cukup hebat pada edisi lalu. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram