DULU pernah dinobatkan sebagai juara treble Liga Malaysia (Liga M) namun kini Kelantan FC sudah menamatkan perjuangan mereka di saingan domestik apabila disahkan menarik diri kempen Liga Kejuaraan MBSB Bank Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) 2024.
Presiden The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman menjelaskan keputusan pengurusan tertinggi pasukan diambil setelah melakukan penilaian dan pertimbangan teliti mengenai hal tuju Kelantan FC.
Menurutnya, kelab berpangkalan di Pantai Timur berkenaan juga berterima kasih kepada Liga Bola Sepak Amatur (AFL) atas persetujuan dan penerimaan untuk kelab beraksi di Liga A1 Semi-Pro.
BACA LAGI: ‘TMJ ambil masa bina JDT’, Vida-Kacak akan rujuk Harimau Selatan bila sah miliki TRW
“Selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC.
"Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru.
"Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.
"Kelantan FC dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan sambil menyusun sepuluh jari, memohon maaf kepada penyokong.
Melihat perjalanan Kelantan dalam bola sepak tanah air berakhir begitu sahaja, terdapat penyokong sudah mula berharap jika usahawan ternama tanah air, Datuk Seri Hasmiza Othman berhasil mengambil TRW sebelum ini.
Norizam atau mesra dengan sapaan Zamsaham masih bergelut untuk menyelesaikan masalah gaji pemainnya. — TRW Kelantan FC
Ahli perniagaan kosmetik yang mesra disapa Datuk Seri Vida itu sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk kembali menerajui kelab bola sepak namun tiada persetujuan berhasil dimaterai.
Seorang pengguna Facebook, Ammar Zahar juga tampil menceritakan bahawa usahawan berkenaan memang serius mahu menjadi pemilik Kelantan walaupun ketika itu ada mulut-mulut mengatakan beliau hanya inginkan populariti.
"Tahun lepas, saya pernah terbang ke Kelantan untuk sertai pasukan Datuk Seri Vida (DSV) bagi berbincang dengan Bosszam tentang hasrat memiliki TRW FC. Kami bertiga duduk semeja berbincang panjang lebar berkenaan hasrat pemilikan Kelantan FC.
"Malangnya, perbincangan tersebut menemui jalan buntu atas faktor-faktor tertentu.
Semalam (Jumaat), saya tengok kenyataan dari Bosszam (Norizam) ini saya pun turut rasa dukacita juga," katanya.
Selain itu, pemilik akaun Facebook berkenaan juga berharap Kelantan FC berhasil dibentuk semula kerana amat rugi untuk melihat kelab yang penuh sejarah dalam Liga M berkenaan lenyap begitu sahaja.
Vida bersama barisan pemain Kelantan pada musim 2016.
"Kelantan FC ada potensi yang besar untuk dibangunkan semula. Dengan sejarah yang begitu hebat, tak sukar untuk meletakkan kelab Kelantan FC ni di tempat yang sepatutnya.
"Saya harap satu masa nanti Kelantan FC bangkit semula seperti zaman treble dulu. Rakyat Kelantan berhak mempunyai kelab bola yang hebat memandangkan banyak bakat-bakat muda di Kelantan.
"Pengajaran dalam perniagaan, anda mesti tahu bila masa yang sesuai untuk membeli dan bila masa yang sesuai untuk menjual," jelasnya.
Untuk rekod, pada awal musim 2016, perniagaan Vida menerusi Vida Beauty menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram