KELANTAN FC sah menarik diri dari Liga A1 Semi-Pro di bawah Pertandingan MBSB Bank Championship 2024.
Keputusan itu dibuat setelah beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan, menurut kenyataan kelab pada Jumaat.
Kelantan FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Amateur Football League (AFL) di atas persetujuan dan penerimaan untuk pasukan Kelantan FC beraksi di Liga A1 Semi-Pro di bawah pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.
BACA LAGI: Simbah asid Faisal Halim: Polis siasat kaitan 3 lagi serangan
BACA LAGI: Sikh Izhan bersama 2 bintang Penang FC bakal kongsi DNA Akmal Rizal bersama Harimau Malaya
Kelantan FC sah tarik diri Liga A1 Semi Pro menurut kenyataan pada Jumaat. — Facebook/TRWKelantanfc
"Walau bagaimanapun, selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC.
"Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru.
"Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.
"Kelantan FC dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan.
"Kelantan FC juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super Musim 2023 serta tidak menyertai Liga pada musim baharu ini.
"Tanggungjawab dan niat pasukan adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu dengan segera sebelum Kelantan FC kembali menyertai liga bola sepak pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik.
"Ucapan jutaan terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan yang telah diberikan sepanjang musim 2020, 2021, 2022 dan 2023. Setiap sokongan anda amatlah kami hargai," kata kenyataan itu.
Pada masa sama, Kelantan FC komited untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dan akan membawa semula pasukan Kelantan FC di dalam liga pada musim akan datang.
"Akhir sekali, Kelantan FC memohon sokongan dan doa daripada anda semua untuk masa depan Kelantan FC yang lebih baik. Terima kasih atas dokongan dan doa anda semua," tulisnya di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram