PASUKAN takraw negara kini memburu gelaran hatrik pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila mara ke pentas final acara regu berpasukan selepas menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Skuad Malaysia meraih mata pertama menerusi trio regu Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Mohd Nordin yang menewaskan gandingan utama lawan, Hendra Pago, Abdul Halim Radjiu dan Jelki Ladada 15-12, 15-9.
Usaha Indonesia untuk bangkit menyamakan kedudukan gagal selepas regu utama negara, dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias menyumbang mata kedua sekali gus mata kemenangan dengan menumpaskan regu kedua lawan 15-8, 15-7.
BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan
BACA LAGI: Tarik diri pun tak selesaikan masalah kewangan KDA FC
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun bakal Kembali bertemu juara bertahan, Thailand di pentas final yang akan berlangsung pada petang Ahad.
Thailand mara selepas menewaskan Korea Selatan juga dengan keputusan 2-0.
Aksi Malaysia dan Thailand pada Ahad mengulangi pertembungan final di Piala Dunia 2011 dan 2017.
Skuad Malaysia sebelum itu Berjaya merangkul dua kejuaraan menerusi acara double dan beregu masing-masing dengan menundukkan Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram