[VIDEO] Bukan sebab Ultras, tekong Thailand merungut sistem 15 mata beri kelebihan Malaysia muncul juara Piala Dunia


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara regu dan double selepas mencatatkan kemenangan 2-0 bagi kedua-dua acara di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu. — Facebook/PSM

MALAYSIA terus mencipta kejutan apabila muncul juara bagi acara double dan regu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas menundukkan Thailand dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan pada Rabu.

Mempertaruhkan trio negara yang dibarisi Mohammad Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias, nampaknya regu itu tidak berdepan masalah untuk memberi cabaran kepada gergasi takraw dunia, Thailand selepas mudah meraih kemenangan 15-8 pada set pertama.

Dengan sokongan padu ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur jelas menyemarakkan api perjuangan regu negara apabila berjaya meraih kemenangan bersejarah 15-12 pada set kedua.

BACA LAGI: [VIDEO] Duo Aidil-Aizat julang Piala Dunia, ultras Malaysia punca tekong Thailand 'koyak' terduduk di Titiwangsa

BACA LAGI: Rejaman kejam, winning mentaliti Malaysia malukan Thailand di Piala Dunia

Regu Thailand dibarisi Poramet Siriswat (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) yang mahu mengheret ke set ketiga bagaimanapun gagal menahan semangat juang yang ditunjukkan oleh regu negara.

Meskipun sempat melakukan pertukaran taktikal pada set kedua dengan membawa masuk tekong berpengalaman, Siriwat Sakha untuk mendapatkan mata menerusi servis, namun itu tidak berjaya dan Thailand terpaksa membawa masuk semula Sittipong.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perasaan bermain di laman lawan, tekong Thailand, Sittipong akui bahawa perlawanan final tersebut sangat baik.

Begitupun, Sittipong turut mendedahkan bahawa kehadiran penyokong tanah air tidak menjejaskan rentak permainannya secara peribadi.

"Ia perlawanan yang menarik, saya gembira untuk berada di pentas final ini, ramai peminat yang hadir dan ia suasana yang baik.

"Kehadiran ribuan penyokong tidak menjejaskan rentak permainan saya secara directly walaupun mereka membuat keadaan tidak tenteram dengan sorakan tanpa henti dari Utras dan peminat," katanya kepada Majoriti.

Sittipong turut akui kecewa dengan servisnya pada set pertama kerana tidak melepasi jaring yang menyebabkan Thailand hanya mengutip lapan mata.

"Saya berasa sedikit tertekan dengan servis saya sendiri kerana tidak melepasi jaring dan itu menyebabkan kami ketinggalan 15-8 pada set pertama," jelasnya.

Tambahnya lagi, dia turut mengakui bahawa Malaysia ketika ini menunjukkan peningkatan yang baik dalam sukan sepak takraw dan menyifatkan sistem 15 mata yang baru diperkenalkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memberi kelebihan kepada skuad negara.

"Tapi saya akui gaya permainan pemain Malaysia sangat tangkas untuk meraih poin, mereka kurang melakukan kesilapan dan itu membuat saya sedikit gementar dan ia menjejaskan persembahan saya.

"Tahniah kepada pasukan Malaysia, mereka banyak menunjukkan peningkatan yang baik dan sistem 15 mata ini sebenarnya memberi peluang kepada Malaysia untuk mudah bergelar juara kerana ketangkasan mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram