KEJAYAAN skuad sepak takraw Malaysia menjulang kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw membuatkan banyak mata kembali bercakap mengenai sukan tersebut.
Mana tidaknya, kejayaan itu datang selepas Malaysia menewaskan musuh tradisi, Thailand dengan skuad negara merangkul kedua-dua kejuaraan di kategori double dan regu.
Di media sosial, sudah pasti ramai pengikut sukan negara mengambil tahu berkenaan kejayaan ini hinggakan ada yang berkongsi mengenai terma sepak takraw yang jarang didengar.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kaki kiri macam tongkat motor', pengulas sepak takraw 'sempoi' malukan Thailand
BACA LAGI: Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM
Teknik maniam sering dipakai oleh 'killer' Malaysia. — PSM
Menerusi perkongsian Ariff Lias di Facebook, dia menceritakan mengenai perbezaan antara dua teknik merejam bola iaitu "gulung" dan "maniam".
Ariff mengaku yang dia bukanlah pakar takraw 'diserang' oleh peminat tegar sukan itu selepas mengatakan pemain negara, Azlan Alias melakukan teknik gulung ketika menentang Thailand.
"Bila saya tulis status semalam ucap tahniah pada pasukan sepak takraw Malaysia, ada yang tegur. Kata mereka killer pasukan regu kita, Azlan Alias bukan killer gulung tapi maniam. Saya tanya, siapa pula maniam ni? Ada ke pemain India dalam skuad negara semalam?
"Rupanya 'maniam' ni adalah skil rejaman/libas yang Azlan gunakan. Saya yang tak tahu pasal takraw ni telah menggunakan istilah 'gulung', rupanya tak boleh. Sensitif buat pakar takraw," kata Ariff.
Menurut Ariff, teknik maniam merupakan nama lain bagi rejaman jenis back stroke dan ia popular digunakan di negara kita selain Singapura, Filipina serta negara-negara Eropah.
"(Teknik) maniam adalah istilah kampung untuk teknik libasan sunback spike/back stroke yang popular di Malaysia, Filipina, Singapura dan Eropah.
"Kebanyakan killer Malaysia gunakan teknik maniam berbanding gulung," ujar Ariff lagi.
Penggunaan terma maniam dalam sukan takraw ini juga boleh dilihat pada sukan-sukan lain. Sukan seperti bola sepak dan badminton turut mempunyai terma seperti maniam.
Sebagai contoh, terma seperti "curi ayam" bermaksud satu-satu pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid manakala "lemas" bermaksud penjaga gol terkapai-kapai untuk menangkap bola yang dilambung pemain lawan.
Dalam badminton pula, terma "bola tanggung" digunakan apabila pemain melambungkan bola dengan cukup tinggi hingga pihak lawan boleh melakukan pukulan smash kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram