TEKONG utama negara, Syahir Rosdi mendedikasikan kejayaan muncul juara acara regu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sebagai hadiah buat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid, 5 Mei lalu.
Syahir berkata, dia dan rakan sepasukan mengharapkan Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey itu cepat sembuh dan kuat menghadapi ujian yang menimpa dirinya.
"Kemenangan bagi acara regu di Piala Dunia ini kami hadiahkan buat Faisal Halim yang sedang berjuang untuk kerjaya dan kariernya. Kami pasukan Malaysia mendoakan agar dia cepat sembuh. We Stand for Faisal Halim," katanya.
Melalui perkembangan terbaharu Faisal, pergerakan tonggak Selangor FC itu tidak lagi seperti biasa selepas ini apabila akan dikawal ketat sebaik dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, tindakan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan pemain itu lebih bersedia bagi mengharungi kejadian terbabit.
Untuk rekod, Syahir dan rakan-rakan terpaksa menunggu selama sembilan tahun untuk menewaskan regu Thailand di hadapan ribuan penyokong yang hadir dengan kemenangan 15-8, 15-12 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Dia turut menghargai sokongan penonton sama ada di stadium atau di rumah yang menyokong tanpa henti.
"Kami tidak sangka akan menang kat sini di Stadium Titiwangsa, stadium keramat, terima kasih kesemua yang datang memberi sokongan termasuk yang berada di rumah kerana tidak jemu-jemu sokong sukan sepak takraw.
"Ini adalah hadiah kami untuk anda semua," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram