Diberi 'masa tambahan', pemilik Kelantan lebih selesa kongsi perkembangan terkini TRW


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Norizam kini sedang berusaha untuk menyelesaikan segala isu-isu berkaitan FIFA bagi memudahkan urusan Kelantan mendaftar pemain.

"DARI jumlah 19 orang (pemain) sahaja yang benar-benar dipilih memenuhi kehendak 'coach' (jurulatih)."

Itulah perkongsian dari pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengenai keadaan semasa yang sedang berlaku di dalam kem The Red Warriors (TRW) bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro yang akan berlangsung pada bulan depan.

Menurut Norizam, Kelantan sudah melakukan ujian pemilihan pemain yang dipantau rapi oleh ketua jurulatih, Manja Man dengan sebanyak 142 bakat baharu hadir di Kota Bharu, Kelantan dengan harapan untuk bersama TRW pada minggu lepas.

BACA LAGI: Dua import ikut jejak Pereyra Diaz kembali ke pasukan dengan penuh gaya

BACA LAGI: ‘Tangan Faisal Halim tiada refleks jangka panjang tak tepat’

"Dari 178 pemain yang berikan resume, 142 orang hadir ke sesi pemilihan yang dibuat 'coach' Manja Man di Kota Bharu pada minggu lepas.

"Dari jumlah terlibat hanya 19 orang sahaja yang benar-benar dipilih memenuhi kehendak 'coach'.

"Dua pemain import yang menepati syarat Liga Bola Sepak Amatur (AFL) juga sudah dikenal pasti," katanya kepada Majoriti.

Manja Man

Manja Man mengajak pemain-pemain berbakat menyertai sesi pemilihan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro.

Tambahnya lagi, pihak pengurusan Kelantan kini sedang giat berusaha menyelesaikan isu terdahulu (tunggakan gaji) bagi memastikan TRW tidak terikat dengan status 'transfer ban' yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Sekarang, kita sedang berusaha untuk selesaikan baki gaji tiga bulan pemain yang lepas ke semuanya.

"Termasuk juga untuk melepaskan dari 'transfer ban'.

"Kenapa nak lepas 'transfer ban'? sebab kita nak daftar pemain tempatan dan pemain import yang baharu.

"Tetapi jika kita tidak berjaya, kita akan guna khidmat pemain sedia ada yang berdaftar pada musim lepas.

"Walaupun begitu 'plan' (perancangan) ini hanya terlaksana kalau saya dapat selesaikan kes-kes FIFA.

"Kalau tak selesai masa terdekat ini mudahan kita berjaya selesaikan di separuh musim kedua nanti," jelasnya.

Kelantan FC

Norizam (lima dari kiri) menjadi pemilik Kelantan sejak 2020.

Pemilik Kelantan itu juga akan merealisasikan permintaan penyokong TRW yang menyokong beliau agar bermula semula dari bawah selepas tiada calon yang mampu menunjukkan bukti 'proof of fund'.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham juga menjelaskan punca utama beliau jarang berkongsi perkembangan semasanya seperti sebelum ini di media sosial.

"Saya bukan diam, saya masih sibuk macam biasa cuma saya jarang kongsikan di media sosial selepas pemergian ayah pada Oktober tahun lepas.

"Saya sangat rapat dan sayang ayah, faham-faham sahajalah.

"Untuk penyokong TRW, saya terpaksa teruskan pemilikan selepas tiada seorang pun dari tujuh calon yang menyatakan hasrat nak beli Kelantan menunjukkan 'proof of fund' atau 'bond' walaupun ada yangg saya tawarkan secara percuma untuk kendalikan kelab.

"Insya-ALLAH penyokong mahu saya mula dari bawah dan tak mahukan kelab terus terkubur atau terburu-buru ke Liga Super semula.

"Insya-ALLAH saya akan usahakan semampu saya dengan menyusun semula pengurusan pasukan.

"Terima kasih pada semua penyokong yang kekal 'support' di masa senang dan susah," luahnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi (CEO) AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, ia susulan tujuh pasukan daripada Liga A1 dan juga Kelantan meminta penangguhan tempoh pendaftaran pemain yang sepatutnya berakhir pada Selasa lalu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram