Penyokong Kelantan sinikal, suruh 'sign' Safee Sali ajar pemain import paling mahal sepak bola


  • Podium
  • Selasa, 21 Mei 2024

Penyokong menggesa pihak pengurusan KDN FC membawa masuk Safee Sali untuk mengajar cara sepakan kepada pemain import.

PASUKAN Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas kepada Sabah FC 2-3 di hadapan ribuan penyokong sendiri meskipun berjaya bangkit daripada ketinggalan pada Jumaat lalu (17 Mei).

Dua gol sagu hati Kelantan dijaringkan oleh pemain import muda Korea Selatan, Kim Ri-gwan dan Bae Kyung-hwan namun gagal bangkit untuk mengikat Sang Badak.

Selepas perlawanan itu, pemain paling mahal Kijang Emas, Chadrack Muzungu telah membuatkan seluruh penyokong Kelantan hampa dengan persembahannya walaupun mempunyai banyak pengalaman beraksi di Eropah dan Afrika.

BACA LAGI: Diberi 'masa tambahan', pemilik Kelantan lebih selesa kongsi perkembangan terkini TRW

BACA LAGI: Bekas pemain Kelantan tak setuju AFL beri 'masa tambahan' buat TRW

Dalam perlawanan itu, Muzungu gagal menyempurnakan penalti apabila bola yang ditendangnya berjaya ditepis oleh penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain kelahiran DR Congo itu ada menjaringkan gol menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan pada minit ke-33 permainan sebelum dinafikan oleh pengadil perlawanan.

Disebabkan persembahan yang kurang efektif, penyokong mahu pihak pengurusan melakukan sesuatu agar penyudah KDN FC berjaya digilap bagi saingan liga musim ini.

Nama legenda Harimau Malaya, Safee Sali turut menjadi sebutan untuk dibawa ke dalam kem Kelantan bagi mengajar teknik sepakan yang betul kepada pemain-pemain KDN FC.

"Beli Safee Sali lah, buat ajar 'training shooting'," kata Usok Emran.

"Kelemahan dia pnyerang kita, tumpul, tak ada skill, lembik, sampai pertahanan nak bertahan sampai habis masa terus jelir lidah," jelas Fizr Ree.

"Barisan kejurulatihan Kelantan, tolong minta ajar kepada Valdumar te dan Chadrack Muzungu melakukan latihan sepakan penalti," luah Syamsul Azan.

Untuk info, Muzungu pernah beraksi bersama skuad nasional DR Congo dalam dua perlawanan persahabatan menentang Bahrain dan Sierra Leone pada 2022.

Menerusi laporan Transfermarkt, pasaran semasa pemain berusia 27 tahun itu dianggarkan cecah lebih RM2 juta dan akan terus meningkat jika dia beraksi baik musim ini di Kelantan.

Musim ini, Kelantan telah membawa masuk sembilan pemain import bagi menghadapi saingan liga yang lebih kompetitif antaranya ialah Michal Jerabek, Kim Ri-gwan, Bae Kyung-hwan, Oday Kharoub, Jung Byung-ju, Chadrack Muzungu, David Ribera, Goo Ah-hwoi dan Valdumar.

Minggu ini (24 Mei), Kelantan akan bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan, Terengganu dengan misi untuk mengutip tiga mata penuh selepas Kijang Emas tewas dua perlawanan ketika menentang Sabah dan Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram