Selangor sahkan Faisal Halim discaj hospital, proses pemulihan amat luar biasa


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Faisal dikhabarkan sudah keluar hospital selepas hampir sebulan menerima rawatan susulan menjadi mangsa insiden simbahan asid pada awal bulan ini.

PENYERANG sayap Selangor FC, Mohd Faisal Halim dikhabarkan sudah keluar daripada hospital selepas hampir sebulan menerima rawatan susulan menjadi mangsa insiden simbahan asid individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Menerusi ciapan laman X pemerhati sukan, Fina Nasrom, Faisal telah keluar hospital kira-kira pukul 12.50 tengahari Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Faisal mungkin dibenarkan keluar hospital pada hujung minggu ini (Sabtu atau Ahad) selepas selesai menerima rawatan 'skin allograft' daripada Belgium di sebuah hospital sekitar Shah Alam, Selangor.

BACA LAGI: 'Apa salah Dr Johan?', fans Gergasi Merah pelik TMJ petik nama CEO Selangor

BACA LAGI: Simbah asid Faisal Halim: Polis siasat kaitan 3 lagi serangan

"Faisal Halim dikhabarkan telah discaj dari hospital, sekitar pukul 12.50 petang tadi.

"Semoga dengan persekitaran berbeza, proses pemulihan Faisal berjalan lancar dan baik," ciapnya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Selangor FC menerusi satu kenyataan pada Sabtu turut mengesahkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital selepas menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat.

"Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak.

"Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau, pihak kelab dan keluarga memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.

"Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini," kata kenyataan itu.

Pada 5 Mei lepas, Faisal menjadi mangsa simbahan asid semasa menuju ke kenderaanya bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu kini tersebar di media sosial dan orang menggesa agar pihak berkuasa segera menangkap si pelaku yang telah menyebabkan karier bola sepak Faisal mungkin terjejas akibat kesan daripada simbahan asid itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram