Masa depan di Thailand makin samar, Cheng Hoe boleh pilih berbakti di JDT, Perak atau Kedah


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Cheng Hoe sudah tentu tidak mahu menghabiskan masa mengendalikan pasukan dalam divisyen kedua Thailand. — Facebook/Police Tero FC

KEPUTUSAN bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kelab bergelut Thailand, Police Tero FC beberapa bulan lalu menimbulkan pelbagai spekulasi.

Ini kerana dia sanggup meninggalkan Selangor FC yang berpeluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 selepas berada di kedudukan kedua Liga Super 2023.

Namun, dengan keputusan sudah dibuat, penyokong hanya mampu memberikan kata-kata semangat buat jurulatih berusia 55 tahun tersebut di negara berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau boleh mahu kekal di Thailand', Cheng Hoe belum pasti soal masa depan

BACA LAGI: Sekadar seri dengan kelab Indonesia, pendekatan 'luar biasa' Cheng Hoe dapat pujian

2555315

Cheng Hoe membuat kejutan apabila meninggalkan skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Sinar harapan pada awalnya diberikan Cheng Hoe selepas berjaya menamatkan rentetan kekalahan dialami kelab itu dalam liga apabila mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Nakhon Pathom.

Bagaimanapun, pengalaman dimiliki jurulatih kelahiran Kedah berkenaan masih belum cukup untuk menyelamatkan skuad The Silver Shield Dragons daripada terjerumus ke divisyen kedua bola sepak Thailand.

28 mata diraih daripada 29 perlawanan jelas tidak dapat membantu mereka kekal musim depan dengan empat mata dibezakan berbanding Lamphun Warrior di kedudukan ke-13.

Jadi, khabar angin mula mengatakan Cheng Hoe bakal kembali mewarnai arena bola sepak tanah air kerana dia pastinya enggan mensia-siakan masa dalam divisyen kedua Thailand.

Sekiranya jurulatih ternama itu memilih untuk pulang, terdapat tiga pasukan yang sudah tentu akan menerima sentuhannya yang tidak lagi perlu diperkenalkan.

1. Johor Darul Ta'zim

Ketika ini, skuad Harimau Selatan memberikan kepercayaan kepada Hector Bidoglio untuk memikul peranan sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Esteban Solari.

Jadi, terdapat kemungkinan Cheng Hoe tidak akan diberikan peluang untuk memikul peranan tersebut meskipun keunggulannya dalam arena bola sepak tanah air tidak boleh disangkal.

Tetapi, melihat kepada kepakaran bekas pengendali Kedah FA itu, terdapat beberapa peranan lain masih boleh dipikul, terutamanya sebagai pengarah teknikal pasukan.

2384905

Cheng Hoe boleh menggantikan Mariano dalam skuad simpanan JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jawatan yang sebelum ini dipikul Bidoglio masih belum diisi mana-mana individu dengan Cheng Hoe merupakan antara calon terbaik bagi kelab Selatan tanah air berkenaan.

Namun, sekiranya pihak pengurusan kelab mahukan seseorang yang lain memikul tanggungjawab sebagai pengarah teknikal, sentuhan Cheng Hoe masih boleh didambakan skuad simpanan JDT.

Meskipun Mariano Echverria membuktikan kualitinya musim lalu, kekalahan dalam perlawanan akhir Piala MFL membuatkan kedudukannya sedikit goyah.

Kehadiran Cheng Hoe dalam JDT II sudah tentu akan memastikan kejuaraan mudah dikecapi memandangkan jurulatih berkenaan memiliki pengalaman cukup luas.

2. Perak FC

Kepulangan Perak FC ke Liga Super 2023 menyaksikan pihak pengurusan bercita-cita besar untuk membuat rombakan terhadap barisan kejurulatihan untuk memberikan saingan.

Salah seorang calon yang disenaraikan ialah Cheng Hoe dengan dia ketika itu masih belum terikat dengan mana-mana pasukan sebelum Selangor FC mengambil keputusan mendapatkannya.

Jadi, dengan kedua-dua pihak gagal meraih kata putus, skuad The Bos Gaurus (TBG) memilih untuk mendapatkan Datuk Lim Teong Kim, namun dia hanya bertahan beberapa bulan.

1716862

Cheng Hoe (dua dari kiri) merupakan salah seorang calon pengendali Perak FC sebelum ini.

Pengganti kepada pengendali ternama itu, Yusri Che Lah turut bergelut dalam membawakan keputusan konsisten meskipun berjaya membawa kelab itu ke separuh akhir Piala Malaysia 2023.

Sekiranya Perak FC mahu membawa perubahan terhadap nasib mereka dalam Liga Super, kemasukan Cheng Hoe merupakan antara pendekatan terbaik boleh diambil.

Bagaimanapun, masa dan sokongan masih perlu diberikan sekiranya skuad TBG mahu mendapatkan keputusan terbaik dengan kehadiran bekas pengendali skuad Gergasi Merah itu.

3. Kedah Darul Aman FC

Tidak boleh dinafikan bahawa tempoh kejurulatihan Cheng Hoe di negeri kelahirannya merupakan kunci dalam membolehkannya menjadi seorang pengendali tempatan terbaik.

Selain dapat mewujudkan sebuah skuad cukup berkualiti, kejayaan diraihnya membuatkannya berpeluang mencipta nama sehingga ke tahap cukup tinggi.

Jadi, sekiranya dia mahu kembali mencuba nasib dalam landskap tempatan, Kedah merupakan destinasi terbaik meskipun kelab tersebut cukup berbeza ketika dia mengendalikannya.

1786810

Cheng Hoe (atas) membawa skuad Sang Kenari ke tahap lebih hebat.

Kemasukannya di samping ketua jurulatih, Nafuzi Zain sudah tentu boleh menjadi ramuan cukup baik untuk mengemabalikan reputasi KDA FC sebagai salah sebuah kelab terbaik.

Meskipun kedua-dua mereka tidak pernah bekerjasama sebelum ini, kesungguhan untuk membawa skuad Sang Kenari kembali ke zaman kegemilangan membolehkan kejayaan dikecapi.

Namun, masalah kewangan dialami kelab itu sedikit menyukarkan pelantikan Cheng Hoe memandangkan dana dimiliki perlu disalurkan ke arah yang lebih memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram