Sekadar seri dengan kelab Indonesia, pendekatan 'luar biasa' Cheng Hoe dapat pujian


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Gandingan pemain muda dan senior diambil Cheng Hoe dalam dua aksi persahabatan buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

BAGI memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik, Selangor FC memilih untuk mengadakan aksi persahabatan sepanjang perlawanan di peringkat antarabangsa diadakan.

Usaha terbabit dibuat sejak penghujung bulan lalu dengan ubi-ubi muda serta pemain yang tidak dipanggil untuk mewakili negara masing-masing mengambil bahagian.

Sebelum ini, skuad Gergasi Merah memilih untuk bertemu kelab Liga 2 Indonesia, Persiraja Banda Aceh pada 27 Ogos dalam aksi yang diadakan di Stadion Harapan Bangsa, Indonesia.

Kemenangan mudah diraih dalam pertembungan itu apabila pasukan di tangga kedua Liga Super itu menjaringkan tiga gol hasil sumbangan Rahman Daud, Yohandry Orozoco dan Faisal Halim.

Usaha mereka tidak terhenti di situ apabila Selangor FC sekali lagi mengadakan aksi persahabatan dan kali ini mereka memilih untuk bertemu kelab Liga 1 Indonesia, PSIS Semarang.

Walaupun hanya perlawanan persahabatan, tumpuan pastinya diberikan penyokong pasukan berkenaan yang mahu melihat tahap sebenar skuad kendalian Tan Cheng Hoe di peringkat Asia.

369851438_778877154244015_2116774380794677456_n

Pendekatan Cheng Hoe bersama skuad Gergasi Merah sering diberikan perhatian. Facebook/Selangor FC

Pertemuan tersebut berlangsung di Stadium Jatidiri, Indonesia dengan ribuan peminat setia tuan rumah membanjiri venue berkenaan untuk menyaksikan aksi persahabatan tersebut.

Perlawanan itu sememangnya cukup menarik apabila penyerang muda Selangor FC, Danial Asri membuka jaringan sebelum pemain import mereka, Rauf Salifu menggandakan kedudukan.

Meskipun PSIS Semarang cuba mengecilkan jurang menerusi Gian Zola, skuad Gergasi Merah kembali mendapatkan kelebihan dua gol hasil jaringan Ayron del Valle.

Namun, pendekatan Cheng Hoe untuk memasukkan pemain muda pada penghujung perlawanan menyaksikan kelab Indonesia itu lebih berani untuk melakukan asakan.

Usaha itu jelas membuahkan hasil apabila keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan skor 3-3 dengan dua lagi gol tuan rumah dijaringkan Riyan Ardiansyah dan Carlos Fortes.

Walaupun sekadar seri, penyokong Selangor FC masih berpuas hati dengan perlawanan itu memandangkan mereka hanya dapat menurunkan pemain-pemain muda.

375859277_789721793159551_1776006112479954328_n

Orozco (kiri) merupakan antara yang diturunkan ketika berdepan PSIS Semarang. Facebook/Selangor FC

"Mantap Selangor FC. Meskipun tidak mempunyai tonggak utama, mereka masih boleh memberikan saingan yang hebat," kata Muhammad Zikri.

"Pengurusan Selangor FC dan Cheng Hoe memberi peluang kepada ubi muda merasai suasana perlawanan antarabangsa sebagai menghargai jasa mereka kepada kelab," kata Musa Ismail pula.

"Bagi aku, secara keseluruhan, puas hati tonton perlawanan tadi. Penjaga gol ditukar sebanyak tiga kali dan masukkan pemain muda untuk dapatkan minit permainan bersama skuad senior," komen Deen Msd.

Dalam pertembungan itu, kesemua tiga penjaga gawang yang dibawa termasuk pemain berusia 20 tahun, Syahmi Adib dibawa masuk bagi tujuan penggiliran.

Selain itu, Aiman Hakimi dan Faiz Amer turut diberikan penampilan dalam kesebelasan utama memandangkan masing-masing sudah beraksi dengan cemerlang bersama Selangor FC II.

Skuad Gergasi Merah bakal berdepan Terengganu FC dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu akan datang di tempat lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram