[VIDEO] Jika pasukan berpuak-puak, itu tidak bagus — Legenda KL, Selangor


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Keharmonian dalam pasukan amat penting untuk diterjemahkan di dalam padang. — Gambar Hiasan

ISU buli bukan satu perkara baharu dan ia boleh berlaku dalam mana-mana keadaan termasuk dalam industri sukan terutamanya bola sepak.

Seperti yang didedahkan bekas pemain kebangsaan, Azmeer Yusof pada Mac lalu tentang dirinya menjadi mangsa buli senior ketika di awal kariernya bersama skuad kebangsaan, membuktikan isu tersebut boleh memberi kesan trauma kepada sesetengah pihak.

Azmeer tidak mendedahkan pihak yang membulinya tetapi hantarannya menerusi laman Facebook itu mendapat perhatian ramai pihak termasuk seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak yang mengajak bekas pemain Kedah itu untuk bersemuka bagi menjernihkan keadaan.

BACA LAGI: Faisal, you are not alone — See Kim Seng mahu 'pengganas' simbah asid kena hukuman setimpal

BACA LAGI: Piala FA: Legenda Harimau Malaya percaya JDT boleh ulangi pencapaian Sabah, Kuala Lumpur

Ini susulan segala dakwaan Azmeer itu seperti dituju kepada beberapa pemain senior termasuk Zaquan sendiri selepas bekas pemain berusia 36 tahun itu yang juga pernah bermain untuk Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkongsikan pengalaman paling perit ketika dia dibuli oleh pemain senior di lapangan terbang sehingga nyaris terlepas penerbangan.

Ketika itu katanya, tiket penerbangan miliknya telah dicampak ke dalam tong sampah hinggakan tiada siapa yang mahu mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

"Lebih menyedihkan apabila motor saya pernah mati di tengah jalan kerana ada pemain yang hanya tua setahun daripada saya menutup saluran minyak ke karburetor motor dan tangan juga terkena ekzos menyebabkan tangan melecur.

"Banyak lagi pembulian yang saya kena sebenarnya tetapi cukuplah di sini sahaja," katanya.

See Kim Seng

See Kim Seng.

Selepas komen Zaquan, isu tersebut terhenti apabila tiada lagi respons daripada Azmeer dan semua pihak seolah-olah melupakannya seperti tiada apa yang berlaku.

Sama ada benar atau tidak dakwaan Azmeer itu, tiada siapa yang tahu melainkan dirinya sendiri mahu pun pihak yang membulinya.

Tetapi menyentuh soal keharmonian di bilik persalinan, legenda era zaman KL FA dan Selangor FA, See Kim Seng menyifatkan bahawa amalan berpuak-puak dalam kelab atau pasukan boleh mewujudkan suasana kurang baik.

Baginya, realiti tersebut sudah wujud dalam Liga Malaysia sejak zamannya lagi seperti yang berlaku ketika dia beraksi bersama Selangor FA.

"Dulu di Selangor pun, masa saya junior diserap ke skuad senior, ada group-group (puak-puak) tertentu. Seeloknya semua kena rapat sebab kita work as a team (bekerja sebagai satu pasukan).

"Ini nasihat saya, jika dalam satu team ada berpuak-puak, itu tidak baik. (Tapi) itu yang berlaku di Liga Malaysia," katanya menjawab persoalan tentang punca timbulnya isu buli dalam bola sepak seperti dibangkitkan Azmeer.

Mengambil contoh keharmonian skuad KL FA pada era semi pro, Kim Seng berkata, pasukannya ketika itu seperti adik beradik.

"Pergaulan kita sangat rapat. Jadi bila kami turun padang, semangat satu team cukup kuat dan mantap.

"Kami satu team (pasukan) macam adik beradik dah. Sama ada di dalam padang atau di luar.

"Begitu juga dengan ketika beraksi di skuad kebangsaan," kata Kim Seng mengulas tentang persefahaman yang sama dicapai ketika dia bermain untuk Harimau Malaya.

Berdasarkan rekod, Kim Seng membuat 14 penampilan bersama skuad Harimau Malaya sepanjang kariernya bersama Selangor FA (1984-1985), KL FA (1986-1992) dan Negeri Sembilan FA (1993-1994). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram