Bintang Man City mahu keluar, mungkin ikut jejak Ronaldo


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Ederson (kiri) tidak senang dengan keputusan Guardiola (kanan) menukarnya ketika perlawanan bertemu Spurs. — Agensi

JUARA Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City berpotensi untuk kehilangan penjaga gol utama mereka, Ederson Moraes bermula musim depan.

Ia selepas penjaga gol tersebut sedang mempertimbangkan pilihan lain selain daripada terus kekal bersama City yang disertainya sejak 2017.

Menurut pemerhati bola sepak Eropah terkenal, Fabrizio Romano, Ederson kini bersedia mencari peluang karier baharu dengan Arab Saudi dijangka menjadi destinasi seterusnya buat penjaga gol Brazil itu.

BACA LAGI: Jelmaan bek Man City jadi sebab Sabah perlu ikat Gabriel Peres lebih lama

BACA LAGI: Saya dah penat, musim depan mungkin yang terakhir — Guardiola

Beberapa kelab dari Saudi yang tidak dinamakan dikatakan telah mempunyai tawaran baik untuk membawa Ederson ke Asia. Namun begitu, ia masih tertakluk kepada pemain itu sama ada mahu terus bersama City atau tidak.

Kemungkinan besar, kelab-kelab utama Saudi seperti Al-Hilal, Al-Ittihad serta kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr adalah nama-nama yang mahu mendapatkan Ederson musim depan.

Sebagai rekod, kontrak Ederson akan berakhir pada 2026 dan ia adalah normal untuk mana-mana pemain mula mencari peluang baharu pada tempoh dua tahun terakhir mereka.

Ederson dilihat mencari peluang baharu luar daripada City dan EPL selepas sumbangannya terhadap kelab sedikit terhad akibat kecederaan.

Ederson melakukan 43 penampilan musim ini dengan mencatatkan 10 nirbolos (clean sheet) dalam saingan liga walaupun dia dibayangi dengan penjaga gol kedua, Stefan Ortega.

Punca Ederson mahu meninggalkan kelab masih lagi menjadi tanda tanya, tetapi jika dilihat kepada situasi semasa berkemungkinan kerana pemain itu tidak senang dengan cara Pep Guardiola menguruskannya.

Hal ini dapat dilihat ketika aksi bertemu Tottenham Hotspur, Guardiola memilih untuk menggantikannya dengan Ortega selepas pemain itu mengalami kecederaan di muka dan mata.

Tetapi, Ederson berkeras untuk terus bermain, dan apabila dia ditukarkan, pemain itu bertengkar dengan Guardiola mengenai keputusan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram