Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik jadi sandaran utama Malaysia raih emas di Sukan Olimpik


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Hamidin yakin gandingan Aaron-Wooi Yik boleh hadiahkan emas buat Malaysia. — FAM

TIDAK dapat dinafikan, pemburuan pingat emas Sukan Olimpik yang pertama buat Malaysia sukar untuk direalisasikan. Sudah ramai yang mencuba tapi tidak pernah berjaya.

Sekali lagi, sandaran diletakkan kepada sukan seperti badminton untuk memastikan impian itu berjaya dicapai dan ramuan sama akan digunakan ketika atlet negara berjuang di Paris, Perancis kelak.

Nama-nama seperti Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara sandaran dari sukan badminton untuk membawa pingat emas idaman negara.

BACA LAGI: Akaun palsu, 'troll' kena berhenti sebar kebencian terhadap pemain, tegas Presiden FAM

BACA LAGI: Anggap persembahan terbaik sepanjang tahun, Lee Zii Jia mahu teruskan momentum di Malaysian Masters

Menurut Chief de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, dia tidak menafikan badminton adalah sukan harapan negara untuk membawa pulang pingat emas.

Bercakap secara eksklusif kepada Majoriti, dia mengharapkan gandingan Aaron-Wooi Yik akan betul-betul menyinar di Paris sekali gus menghadiahkan kemenangan buat Malaysia.

"Selepas saya melihat prestasi mereka di Piala Thomas, saya nampak mereka ada peningkatan. Mereka adalah harapan untuk membawa pulang pingat emas atau mana-mana pingat buat negara.

"Kekuatan mereka ini telah terbukti, mereka pun pernah tewaskan beregu di ranking nombor satu dunia. Selain itu, mereka sering muncul di peringkat seperti separuh akhir dan akhir," kata Hamidin.

2249122 (1)

Aaron-Wooi Yik diharap dapat bawa emas buat Malaysia. — Agensi

Hamidin mengatakan kunci untuk mara jauh dalam acara badminton adalah tuah ketika undian. Hal ini kerana, jika atlet diundi bertemu lawan sukar di pusingan awal, ia boleh meranapkan impian negara.

Oleh itu, Hamidin berharap yang atlet Malaysia akan memperoleh undian mudah dalam menuju ke aksi akhir.

"Saya setuju dengan pendapat Tan Sri Norza Zakaria, undian amat penting terutamanya di pusingan awal.

"Hal ini kerana, atlet kita ada masalah apabila berdepan lawan-lawan tertentu macam beregu dari India atau Denmark. Tapi bila jumpa wakil Korea Selatan atau Indonesia, mereka boleh 'makan' bila bertemu," ujar Hamidin.

Selain gandingan Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia, pasangan Pearly Tan-M. Thinaah juga menjadi sandaran negara untuk buru pingat emas di Paris. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram