SABAH FC musim ini tampil dengan pendekatan bersederhana apabila menggunakan pemain sama dari tahun lepas dan hanya menandatangani khidmat import dari Australia, Haris Stamboulidis untuk memperkuatkan jentera pertahanan.
Walaupun dibarisi dengan pemain sama namun setakat dua perlawanan yang sudah berlangsung, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah mengutip empat mata untuk meletakkan meeka di tangga ketiga liga.
Perlawanan pertama menyaksikan Sabah FC sekadar meraih satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan menentang Penang FC dalam aksi Liga Super pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 12 Mei.
BACA LAGI: Selain Rizal-Saddil, 3 lagi gandingan tempang tercari-cari 'chemistry'
BACA LAGI: 'Tengah game pun boleh tercabut', fans bising kualiti jersi Sabah FC
Kunjungan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat lalu pula menyaksikan The Rhinos meraih kemenangan pertama selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan keputusan 3-2.
Aksi kedua Liga Super itu juga menyaksikan pemain dari musim lepas juga yang menjadi wira Sabah dalam mencetak jaringan dan mereka adalah Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Ramon Machado.
Antara semua pemain berkenaan, Peres yang menjadi pemain pertama membuka akaun jaringan The Rhinos musim ini paling mendapat perhatian penyokong kerana statusnya sebagai bek tidak menghalang untuk membantu mencetak gol buat Sabah.
Selain bergelar penjaring pada perlawanan itu, bek tengah berusia 27 tahun berkenaan juga memberi hantaran bantuan kepada gol kemenangan Sabah menerusi jaringan Machado pada minit ke-69.
Ia bukan kali pertama Peres membantu serangan Sabah apabila tonggak pertahanan yang dibawa masuk pada awal musim lepas itu juga meledak lima gol dan dua hantaran bantuan (assist) pada saingan tahun lalu.
Sumbangan yang dibuat bekas pemain Brasil Pelotas itu membuatkan ada sesetengah penyokong melihatnya mempunyai ciri-ciri bek tengah Manchester City, Josko Gvardiol kerana rajin naik ke bahagian hadapan membantu serangan skuad The Citizens.
Pertahanan muda dari Croatia itu dibawa masuk Man City pada Ogos 2023 dan kini dia sudah meledak empat gol serta dua hantaran bantuan buat skuad kendalian Pep Guardiola pada musim ini.
Persamaan Peres dan Gvardiol menjadi faktor para penyokong The Rhinos mencadangkan agar pihak pengurusan menawarkan kontrak lanjutan lebih lama kepada pertahanan berketinggian 1.97 meter berkenaan.
Setakat ini, pihak pengurusan Sabah FC sudah mengikat Peres sehingga 31 Mei 2025, namun kelab lain masih berpeluang untuk mencaras bek berkenaan jika mereka menawarkan harga lumayan untuk kekal menggunakan khidmatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram