Desakan tarik semula penggunaan VAR hanya bantutkan kemajuan bola sepak — Zainal Abidin


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Penggunaan VAR masih belum membawa pulangan seperti mana diharapkan peminat bola sepak tempatan.

PENGGUNAAN video bantuan pengadil (VAR) dalam arena bola sepak tempatan tidak menerima respons baik dalam kalangan penyokong yang beranggapan teknologi itu masih belum cukup 'matang'.

Manakan tidak, setakat dua hari perlawanan Liga Super, sistem tersebut gagal berfungsi sebanyak beberapa kali, termasuk ketika aksi antara Penang FC dan Terengganu FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tempoh hari.

Selain itu, terdapat beberapa insiden menyaksikan pengadil gagal membuat keputusan tepat kerana masing-masing masih belum menerima tunjuk ajar yang mencukupi mengenai penggunaannya.

BACA LAGI: MFL sudah jangka, sedia cari jalan penyelesaian isu teknikal VAR

BACA LAGI: [VIDEO] Baru satu game, stadium jadi bendang antara warna-warni aksi awal Liga Super

51706753407_ZainalAbidinRawop

Zainal menyeru peminat bola sepak supaya bersabar dengan isu melibatkan VAR.

Masalah sedemikian membuatkan sebahagian besar penyokong mendesak pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tidak menggunakan VAR bagi baki musim 2024/25.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Zainal Abidin Rawop, desakan untuk menarik semula penggunaan teknologi tersebut hanya akan membantutkan perjalanan sukan itu.

"Kita perlu bersabar dan hadam dengan penggunaan VAR kerana keputusan menggunakannya sudah dibuat, jadi kita tidak boleh mengundur. Kita perlu terus ke hadapan.

"Kita perlu membuat penambahbaikan dari setiap aspek sementara penyokong juga perlu bersabar dengan penggunaan VAR. Mereka tidak boleh mengharapkan 100 peratus sempurna," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, isu melibatkan teknologi tersebut turut dialami liga lain yang mampu menyelesaikannya apabila berjaya mencari pendekatan terbaik bagi mengatasinya.

Sebelum ini, MFL menyedari bahawa penggunaan VAR akan membawa pelbagai kritikan daripada penyokong melibatkan isu teknikal dan tempoh diambil pengadil dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, luahan demikian amat penting bagi pihak mereka menentukan jalan penyelesaian dengan terdapat kemungkinan ia dapat berfungsi sebaik mungkin pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram