Sayang gol ke-4 Jafri Chew batal, Sabah berpeluh menang tipis dapat 'good fight' skuad KDN


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Sabah meraih tiga mata ketika menentang KDN FC dalam perlawanan Liga Super musim 2024/2025 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat. — MFL

PERLAWANAN Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan Sabah FC pulang dengan tiga mata selepas bertungkus-lumus menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN FC) menerusi kemenangan tipis 3-2.

Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat itu berlangsung sengit apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menerima tentangan hebat daripada KDN FC yang dipimpin jurulatih Korea, Park Jaehong.

Sabah memperoleh jaringan sulung selepas Gabriel Peres mencetak gol pada minit 25 dalam separuh masa pertama hasil bantuan hantaran Ko Kwang Min.

BACA LAGI: Masalah teknikal VAR 'bunuh' peluang Sabah raih 3 mata

BACA LAGI: Liga Super 2024 buka tirai dalam duka, tidak ikut tradisi seperti biasa

441338984_466938665728122_2821176405489534707_n

Peres (jersi biru) mencetak gol sulung untuk meletakkan Sabah di depan pada separuh masa pertama. — MFL

KDN FC kemudian berpeluang mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti namun Khairul Fahmi Che Mat menggagalkan tendangan penyerang lawan, Chadrack Muzungu Lukombe.

Khairul Fahmi yang juga bekas penjaga gawang kebangsaan mempamerkan aksi terbaik apabila dia dapat membaca gerakan bola Muzungu sekali gus mematikan cubaan penalti tersebut.

Gawang Sabah hampir bergegar kurang tiga minit daripada penalti tadi selepas Muzungu sekali lagi menendang bola melewati Khairul Fahmi terus ke arah jaring.

Begitupun, ia diputuskan ofsaid oleh pengadil kerana bola sudah terkeluar garisan. Kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad Sang Badak tidak bergembira lama selepas KDN FC menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 56 menerusi jaringan pemain import Korea, Kim Lik Wan.

Stadium Sultan Muhammad ke-IV sebagai tuan rumah KDN FC bergema dengan sorakan 7,778 orang penonton yang menyaksikan skuad Kijang Emas memberikan 'good fight' kepada Sabah sebagai pasukan Top 3 Liga Super musim lepas.

Bagai tersentak dengan jaringan itu, Sabah segera menggandakan asakan sebelum memperoleh gol kedua menerusi rembatan jarak jauh Stuart Wilkin dari tengah pada minit ke-63.

441320922_466938955728093_2729959929532143357_n

Stuart Wilkin (empat kanan) meraikan gol kedua Sabah bersama rakan sepasukan. — MFL

Skuad Sabah yang diketuai Park Tae-su terus menjarakkan kedudukan selepas Ramon Machado pula menjaringkan gol ketiga pada minit ke-69 yang sekali gus meletakkan Sabah di kedudukan lebih selesa.

Gawang KDN FC terus bergegar apabila pemain gantian, Muhammad Jafri Firdaus Chew mencetak gol keempat buat Sabah, namun keputusan itu segera dibatalkan apabila ia disahkan ofsaid oleh pengadil.

Leka seketika dengan situasi itu, KDN FC mengambil peluang untuk mencetak gol kedua pada masa tambahan menerusi import Koreanya, Kyeonghwan.

Bahkan skuad Pantai Timur itu berpeluang mendapat gol ketiga apabila hampir diberikan penalti namun, pengadil memutuskan bahawa tiada sepakan diberikan yang menyaksikan keputusan kekal 3-2 hingga wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, penyokong Sabah FC mempersoalkan mengapa gol pemain gantian, Muhammad Jafri Firdaus Chew dibatalkan oleh pengadil.

"Kenapa jaringan Jafri dibatalkan ya?," soal Fred Young Guy.

"Sepatutnya gol keempat Sabah FC sudah disahkan tiba-tiba boleh batal minit akhir," komen Fenz Renzo.

442467906_466938632394792_3403872417072922004_n

Sabah meraikan kemenangan selepas berjaya menundukkan skuad KDN FC. — MFL

"Gol Jafri dibatalkan kerana semasa hantaran dibuat, Darren Lok memang berada di kedudukan ofsaid dan turut membuat pergerakan challenge header. Gol akan dibenarkan jika Darren tidak bergerak ke arah bola," jelas Amin Tun.

Dalam pada itu, penyokong Kelantan pula memuji mutu permainan yang ditunjukkan oleh KDN FC dalam perlawanan terbabit.

"Kelantan dah main baik sekarang, padu," puji Nor Haziq.

Sabah menduduki tangga pertama dengan empat mata manakala Kelantan di tangga ke-11 dengan kosong mata.

Selepas ini, Sabah akan melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Likas, Sabah pada 25 Mei.

Manakala Kelantan akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu untuk menentang Terengganu FC pada 24 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram