BADAN pengendali Liga Super, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat untuk menambah set Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi memastikan sistem itu dapat beroperasi dengan lebih lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan penambahan unit akan memudahkan badan pengendali itu menguruskan aspek logistik dan pergerakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selain dapat memastikan satu unit dapat ditempatkan secara kekal bagi mengendalikan perlawanan di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, MFL sudah mempunyai empat set VAR dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh unit bagi memastikan operasi liga lebih lancar.
BACA LAGI: Isu teknikal VAR di Stadium Bandaraya mungkin punca gol Manuel Ott tidak disahkan
BACA LAGI: VAR tak salah, kedudukan Darren Lok buatkan gol Jefri Chew tidak sah, tegas Referee Kampung
Bagi pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, usaha MFL untuk menambah VAR adalah langkah baik namun perlu ada latihan pengadilan yang lebih kerap agar mereka mahir menggunakan teknologi itu.
"Jadi saya fikir liga kita sekarang sedang berlaku transisi daripada manual punya pengadilan kepada rujukan VAR namun VAR itu belum dapat digunakan secara menyeluruh.
"Jadi apabila saya dengar nak tambah lagi kapasiti, jumlah VAR itu satu langkah yang baik bagi saya.
"Sebab satu dunia orang dah pakai VAR sekarang, tapi adalah baik jika kita juga mengamalkannya.
"Kita tambahkan jumlah VAR tapi dalam masa yang sama kita kena latih betul-betul orang (pengadil) yang mengendalikannya, sumber manusia itu penting.
"Tak apa, nak tambah boleh tambah tapi dalam masa yang sama mesti berlatih secara berkala dan konsisten pegawai-pegawai yang mengendalikannya," katanya kepada Majoriti.
Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
Mengulas lanjut mengenai masalah teknikal yang dihadapi VAR dalam beberapa perlawanan Liga Super baru-baru ini, Zulakbal mempersoalkan kondisi teknologi itu yang baharu sahaja digunakan oleh MFL.
"Memang saya tengok liga kita dah mula gunakan VAR dengan beberapa kondisi,tadi saya tengok satu video pemain Terengganu dikatakan tidak ofsaid tapi ofsaid tapi kenapa tak tengok VAR kan?
"Dikatakan VAR bahagian ofsaid itu tidak berfungsi dengan baik atau ada masalah teknikal jadi menjadi persoalan VAR dah ada tapi ada bahagian-bahagian lain tak boleh tengok.
"Saya pun tak pasti kenapa benda baharu datang, nak pakai dah rosak itu, dah rosak ini.
"Adakah benda (VAR) kita beli 'second hand' ataupun pegawai-pegawai yang mengendalikannya belum begitu mahir?
"Kerana VAR itu bukan benda murah, mahal! Jadi bila mahal ini kena jaga betul-betul, kena kendalikan dengan baik dan sebagainya," jelasnya.
Tambahnya lagi, pengadil tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada VAR kerana segala keputusan masih datang daripada individu yang mengadili perlawanan.
"Saya fikir kita semua sedang berusaha ke arah memodenkan liga, bagaimanapun tetap dia perlu kepada keputusan pengadil.
"VAR ini hanya membantu pengadil membuat keputusan, jadi macam mana pun kita tidak boleh bergantung 100% peratus dengan VAR.
"Masih kena ada pengadil yang 'well-trained' dalam masa sama kita sebagai manusia ini ada kelemahan-kelemahan sebagai contoh mata ada dua tak sempat nak tengok semua benda.
"Jadi VAR ada, untuk membantu kita, jadi itu dia punya konsep. Pengadil kena 'first class' tapi dia perlu juga bantuan VAR kerana sekarang ini seluruh dunia menggunakan VAR," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram