[VIDEO] Baru satu game, stadium jadi bendang antara warna-warni aksi awal Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 13 Mei 2024

Kesemua 13 pasukan sudah tentu bersemangat untuk merebut kejuaraan Liga Super musim ini. — Facebook/MFL

KESEMUA enam perlawanan untuk kempen Liga Super 2024/25 disajikan buat peminat bola sepak tanah air dengan setiap daripadanya menyajikan keterujaan tersendiri.

Aksi pembukaan yang sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC tidak diadakan berikutan keputusan pihak pelawat untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.

Alasan yang diberikan adalah kerana mereka tidak mahu terdedah kepada isu keselamatan susulan serangan di luar padang dialami tonggak pasukan, Faisal Halim.

BACA LAGI: Ramalan Liga Super: Kedah mungkin 'digari', Sang Penyu, Tok Gajah berkongsi skrip 'air mata kegembiraan'

BACA LAGI: Liga Super 2024 buka tirai dalam duka, tidak ikut tradisi seperti biasa

441052644_1013165853512724_1922092458314329911_n

Skuad Harimau Selatan dinobatkan juara Piala Sumbangsih 2024. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tindakan untuk memboikot perlawanan itu mendesak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadiahkan kemenangan buat JDT di samping menobatkan mereka sebagai juara Piala Sumbangsih.

Namun, kerinduan penyokong terhadap saingan Liga Super diubati pada hari kemudiannya dengan tiga aksi dijadualkan melibatkan enam kelab.

Malah, perlawanan tersebut terbukti memberikan keterujaan buat sesiapa yang mengikutinya dengan pelbagai insiden cukup hangat disaksikan.

Walaupun setiap daripada kejadian itu tidak menentukan keputusan akhir, ia menjadi bahan bualan hangat kerana penyokong pasti tidak akan melupakannya.

Berdasarkan kesemua perlawanan diadakan, terdapat tiga insiden yang menarik untuk dikupas dengan ia sedikit sebanyak menjadi warna sebenar arena bola sepak tempatan.

1. 'Bendang' di Stadium Selayang

Perlawanan pertama Liga Super 2024/25 menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC bertandang ke Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu untuk berdepan PDRM FC.

Aksi tersebut bermula cukup baik selepas skuad Sang Kenari berada di hadapan seawal minit pertama permainan selepas penyerang pinjaman, Syafiq Ahmad menampan hantaran Sony Norde.

Namun, pertembungan dan rentak permainan mula terencat selepas setengah jam perlawanan berlangsung berikutan hujan lebat.

Keadaan padang berlecek merencatkan permainan kedua-dua pasukan.

Keadaan cuaca itu menyaksikan padang berlecak sehingga menyukarkan kedua-dua pasukan tidak dapat menampilkan aksi terbaik sehingga mengecewakan penyokong.

Masalah pengaliran tidak sistematik boleh dikatakan punca air hujan tidak dapat dialirkan dengan baik sehingga ia bertakung di tengah serta sekitar kawasan padang.

Bagaimanapun, penyokong seperti tidak terkejut akan masalah itu kerana isu sedemikian sudah berulang beberapa kali sehingga membuatkannya satu norma dalam arena bola sepak tempatan.

Meskipun terdapat pelbagai usaha untuk menyelesaikannya, sikap acuh tidak acuh serta kekurangan kepakaran membuatkan hal sebegitu berulang sehingga hari ini.

2. VAR tak berfungsi

Satu langkah berani diambil MFL musim ini apabila mereka memperkenalkan teknologi video bantuan pengadil (VAR) yang sudah digunakan secara meluas seluruh dunia.

Selain dapat membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat, pengenalannya dapat menjawab persoalan penyokong akan setiap kontroversi timbul.

Namun, isu sedemikian berlaku ketika pertemuan antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) yang berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.

GNTA0k2b0AENycU

Masalah teknikal menyaksikan VAR tidak dapat digunakan dalam aksi antara Sri Pahang FC dan KDN FC.

Berdasarkan foto tular di media sosial, skrin besar dipasang di venue perlawanan berkenaan memaparkan VAR tidak dapat digunakan bagi perlawanan itu.

Tetapi, setakat ini, MFL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atas punca teknologi tersebut tidak dapat diguna pakai dalam perlawanan terbabit.

Ketiadaannya bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap gaya permainan tuan rumah yang masih dapat membawa pulang tiga mata penuh selepas merekodkan kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan Manuel Hidalgo.

3. Kad merah, gol sendiri

Sebanyak 26 kad merah dilayangkan musim lalu dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) antara yang memegang rekod paling buruk dalam kalangan 14 pasukan.

Tidak cukup dengan itu, kelab Utara tanah air berkenaan turut mengalami masalah gol sendiri yang menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-11 Liga Super.

Jadi, terdapat jangkaan daripada ramai penyokong bahawa pengendalinya, Yusri Che Lah akan menyelesaikan isu sedemikian sebelum kempen Liga Super musim ini bermula.

441904524_463204536101535_4379020012700075837_n

Motta (kiri) dilayangkan kad merah ketika aksi antara Terengganu FC dan Perak FC. Facebook/MFL

Namun, masalah itu seakan-akan bakal dilanda Perak FC sekali lagi selepas kedua-dua kesilapan tersebut diulangi ketika berdepan skuad Sang Penyu pada Sabtu.

Isu itu membuatkan skuad TBG tewas dalam perlawanan pembukaan selepas Shivan Pillay menjaringkan gol sendiri sementara Luiz Henrique Motta dibuang padang.

Sekiranya masalah tersebut tidak diselesaikan, terdapat kemungkinan besar kelab berkenaan akan bergelut sekali lagi meskipun persiapan serba lengkap sudah dibuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram