MFL sudah jangka, sedia cari jalan penyelesaian isu teknikal VAR


  • Podium
  • Isnin, 13 Mei 2024

Harapan besar diletakkan selepas MFL mengumumkan teknologi VAR akan diguna pakai musim ini. — Facebook/MFL

PENGENALAN video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia menerima respons berbaur kritikan daripada peminat setia bola sepak tanah air.

Manakan tidak, sepanjang minggu pembukaan Liga Super 2024/25, beberapa insiden gagal dirakam teknologi itu sehingga membuatkan penyokong mempersoalkan pemasangannya.

Selain itu, VAR gagal berfungsi dalam dua perlawanan antara Sabah FC dengan Penang FC di Stadium Likas, Sabah serta aksi antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Temerloh, Pahang.

BACA LAGI: Sabah negeri pertama bakal guna sistem VAR sendiri Jun ini

BACA LAGI: Tiada VAR tak halang Tok Gajah kutip 3 mata penuh, Hidalgo muncul wira

GNTH35VboAApw51

Teknologi VAR tidak dapat digunakan dalam aksi di Stadium Temerloh, Pahang. Twitter/Semuanya Bola

Masalah berkenaan sudah tentu membuatkan peminat berang dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tergesa-gesa dalam memperkenalkannya.

Namun, bagi Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya sememangnya sudah menjangkakan perkara itu dan akan mencari penyelesaian pada masa akan datang.

"Ini memang sudah kita agak, ia tidak berlaku ketika kita adakan aksi pramusim, tetapi berlaku ketika aksi Liga Super sudah berjalan.

"Itu sudah dinyatakan CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam pada peringkat awal bahawa ada kemungkinan masalah teknikal terjadi dan ternyata ia berlaku," katanya.

MFL CEO Datuk Abdul Ghani Hassan

Ghani menegaskan MFL akan mencari cara untuk memastikan isu sedemikian tidak berulang.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, VAR tidak dapat digunakan dengan beberapa insiden gagal diperhatikan dengan baik, lebih-lebih lagi ketika aksi antara Sabah FC dan Penang FC.

Perkara sedemikian turut dikatakan sebelum kempen Liga Super musim ini berlangsung memandangkan MFL masih berharap kepada unit bergerak bagi teknologi berkenaan.

Tambahnya lagi, badan penganjur liga itu akan mencari langkah terbaik supaya isu berkenaan tidak berulang pada masa akan datang demi meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.

"Apa yang penting bagi saya, MFL akan cuba mengelak masalah teknikal kecuali ada masalah lain dan kita akan kemas kini sebelum perlawanan sekiranya VAR tidak dapat berfungsi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram