KETIADAAN pemain bintang, Muhd Faisal Halim dalam kesebelasan utama Selangor FC jelas menunjukkan bahawa barisan serangan Gergasi Merah agak tumpul untuk merobek gawang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Mujur jaringan tunggal perlawanan Aliff Haiqal Lau pada penghujung babak kedua berjaya memastikan tiga mata berharga buat Gergasi Merah.
Walaupun Selangor mengawal tempo permainan pada separuh masa pertama sehingga boleh dikira berapa banyak percubaan Sang Kenari ke arah gawang gol Gergasi Merah, mereka masih gagal menjaringkan gol.
Gandingan pemain import baharu, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandes juga dilihat masih belum dapat membolosi gawang gol Kedah yang dijaga rapi Kalamullah Al-Hafiz.
Nidzam Jamil melakukan sedikit pertukaran posisi buat Shahrul Nazeem apabila diturunkan sebagai pertahanan kanan.
Manakala, Mukhairi Ajmal pula menggantikan Faisal Halim namun dilihat masih belum menyesuaikan diri dengan posisi baharunya itu.
Peluang terbaik pelawat mendahului hadir pada penghujung babak pertama namun sepakan percuma Sony Norde hasil kesilapan Shahrul Nazeem yang membuat terjahan keras di luar kotak penalti cukup lemah, sekali gus mengecewakan penyokong Kedah.
Separuh masa pertama menyaksikan Selangor 0-0 Kedah yang mana Sang Kenari lebih gemar bemain bertahan di separuh masa pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor terus mengasak kubu lawan dengan beberapa percubaan berjaya diselamatkan oleh Kalamullah.
Pada minit ke-64, peluang Ronnie untuk menjaringkan gol dihalang oleh pengadil perlawanan selepas didakwa ofsaid, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak digunakan untuk menyemak semula keputusan.
Beberapa insiden dalam perlawanan itu juga tidak disemak menggunakan VAR sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong.
Nidzam Jamil sempat memberikan peluang kepada pemain import baharu, Reziq Bani Hani untuk membantu bahagian serangan selepas Gergasi Merah buntu merobek gawang Kedah.
Ternyata percaturan Nidzam membuahkan hasil apabila gerakan serangan Selangor menunjukkan peningkatan positif.
Lima minit sebelum wisel penamat ditiupkan pemain gantian Selangor, Aliff Haiqal Lau menjaringkan gol dengan satu rembatan voli yang menewaskan Kalamullah.
Apa yang menariknya pemain berjersi 77 itu melakukan sambutan jaringan Faisal Halim, 'siuuu' yang disambut seluruh penyokong.
Keputusan kekal 1-0 yang menyaksikan Selangor berjaya mengutip tiga mata pertama dalam aksi Liga Super minggu kedua itu.
Selepas ini Selangor akan berkunjung ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan untuk bertemu Negeri Sembilan FC.
Manakala Kedah akan melayani kunjungan Perak FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram