PASUKAN Selangor FC berjaya mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain gantian, Aliff Haiqal Lau pada Sabtu lalu (18 Mei).
Aliff Haiqal yang masuk menggantikan Mukhairi Ajmal tidak mensia-siakan peluang terhidang dengan melakukan rembatan voli ke arah gawang gol Kedah selepas bola terkena lantunan pemain pertahanan lawan.
Apa yang lebih menarik, jaringan pemain berjersi nombor 77 itu diraikan dengan sambutan 'siuuu' yang sudah sinonim dengan bintang Selangor, Muhd Faisal Halim sebagai tanda sokongan kepadanya selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
BACA LAGI: Nombor 77 untuk 7, Gergasi Merah puas jaringan 'siuuuu' bergema kecewakan Kedah
BACA LAGI: Faisal Halim pernah berguru dengan 3 legenda Manchester United
Kutipan tiga mata berharga itu mungkin hadiah daripada rakan sepasukan buat Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey untuk terus bangkit dan berjuang demi masa depan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Lebih indah lagi, dalam perlawanan itu, penyokong yang hadir ke stadium telah bangun daripada tempat duduk untuk memberikan tepukan gemuruh pada minit ketujuh perlawanan bagi menunjukkan solidariti buat Faisal yang dijangka berehat panjang meskipun sudah sembuh nanti.
Penyokong Selangor turut hadir dengan sepanduk, banner (kain rentang) dan kad ucapan buat Faisal bagi menunjukkan bahawa mereka benar-benar menyokong serta berada di belakang pemain berusia 26 tahun itu.
Menerusi perkongsian video dari media sosial Selangor FC, bukan sahaja penyokong yang terkesan dengan kehilangan Faisal, malah rakan sepasukan juga sebak apabila memegang baju pemain sayap Gergasi Merah itu.
Riak wajah pemain pertahanan Selangor, Fazly Mazlan berjaya ditangkap lensa kamera apabila dia kelihatan sebak sambil mencium baju rakan sepasukannya itu sebelum perlawanan bermula.
Fazly yang sering bermain dengan Faisal di sebelah kiri serangan dan pertahanan Selangor pasti rindu untuk beraksi bersama-sama selepas mereka berjaya membantu Gergasi Merah layak ke Asia musim ini.
Minggu ini (26 Mei), Selangor akan berkunjung ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan untuk bertemu skuad kendalian, Azzmi Aziz sekali gus mahu mengutip tiga mata penuh bagi merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh seorang individu yang tidak dikenali dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta sekitar Shah Alam, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram