Kelantan Darul Naim tekad balas kepercayaan penyokong — Rezal Zambry


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 21 Mei 2024

Rezal (dua dari kiri) sudah tentu berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain skuad Kijang Emas. — Facebook/KDN FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

MUSIM lalu, ada lebih ramai ibu-bapa yang datang menonton perlawanan bola sepak murid tahun enam di antara dua pasukan sekolah rendah di Kota Bharu berbanding satu perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan United (KLU) FC.

Mungkin keterlaluan bunyinya tapi itulah hakikat apabila sekadar 73 orang menyaksikan KLU – dijenamakan semula sebagai Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim ini – tewas 0-4 ketika menjadi tuan rumah kepada Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 1 Dis 2023.

Sepanjang musim 2023, KLU mencatat antara kehadiran penonton terendah dalam 13 perlawanan di gelanggang sendiri dengan purata hanya 777 orang setiap perlawanan gara-gara mereka terpaksa berbahagi penyokong dengan pasukan senegeri, Kelantan FC.

BACA LAGI: Bukan sekadar ubah nama, KDN FC enggan terus dilihat pasukan picisan

BACA LAGI: Khatul Anuar mahu buat barisan serangan Sabah 'gigit jari' bila bertemu KDN

441463905_892860159520306_8090361338563283193_n

Kehadiran penyokong adalah cukup membanggakan ketika KDN FC berdepan Sabah FC. Facebook/KDN FC

Semakan di laman flashscore.com menunjukkan jumlah kehadiran mengikut perlawanan KLU di Stadium Sultan Muhammad IV seperti berikut: menentang Perak FC (964), Kedah FC (1,954), KL City FC (224), Kelantan FC (2,910), Selangor FC (1,242), Sabah FC (297), PDRM FC (540), Terengganu FC (517), Sri Pahang FC (168), Kuching City FC (165), Penang FC (351), JDT (697) dan Negeri Sembilan FC (73).

Malah, perlawanan ‘derby’ setempat dengan Kelantan FC yang dimenangi tuan rumah itu 4-1 pada 2 Jun tercatat sebagai kehadiran tertinggi dengan 2,910 penonton.

“Alhamdulillah, penyokong sudah kembali,” kongsi penolong ketua jurulatih, Rezal Zambry Yahya, dengan Bola Pegun merujuk kepada kedatangan 7,778 penonton ketika KDN FC turun beraksi buat kali pertama di Stadium Sultan Muhammad IV dalam kekalahan 2-3 kepada Sabah FC, Jumaat lalu.

“Seingat saya, kami tidak pernah dapat sebegitu ramai penyokong musim lalu. Tapi dalam perlawanan dengan Sabah FC, kami dapat lihat sokongan penuh kepada KDN FC yang membawa nama negeri Kelantan musim ini,” tambahnya.

Kepada Rezal, sokongan sedemikian memberi semangat tambahan kepada pasukannya yang mengalami kekalahan tipis dalam dua perlawanan pertama selepas terdahulu tunduk 0-1 kepada Sri Pahang FC hasil jaringan Manuel Hidalgo dalam perlawanan pembukaan musim di Stadium Temerloh pada 11 Mei.

435976390_895199555953033_4001162062905849816_n

Valdumar merupakan salah seorang pemain import disambar skuad Kijang Emas. Facebook/KDN FC

“Kami melihat kehadiran penyokong yang ramai di Kota Bharu sebagai perkara positif. Bukan sangat kerana mereka tiada pilihan (dibandingkan ketika kehadiran Kelantan FC musim lalu) tapi mereka memilih untuk memberi sokongan kepada KDN FC.

“Di sebalik kami menghargai sokongan mereka, maka pasukan ini juga perlu selari dengan hasrat penyokong. KDN FC perlulah ambil tanggungjawab untuk balas kepercayaan penyokong. Kami juga harap sokongan ini akan berkekalan dan meningkat lagi dalam perlawanan-perlawanan mendatang,” katanya.

Selepas menduduki tangga ke-12 daripada 14 pasukan musim lalu dengan hanya menang empat, seri lima dan kalah 17 untuk menghimpun 17 mata, KDN FC musim ini menandatangani sembilan pemain import.

Kepada Valdumar Augusto (Guinea), David Ribera Viana (Bolivia), Ghadrack Lukombe Muzungu (Congo), Oday Kharoub (Palestin), Michal Jerabek (Republik Czech), serta empat pemain dari Korea Selatan, Kim Ri-gwan (21 tahun), Jung Byung-ju (20), Koo Ahoe (22) dan Bae Kyung-hwan (22), KDN FC mengharapkan perubahan nasib.

Malah, penyenaraian Augusto (26 tahun), Ribera (23), Muzungu (27), Kharoub (31) dan Jerabek (30) menunjukkan penekanan kelab itu kepada faktor kecergasan dan kepantasan berbanding mendapatkan pemain lebih berpengalaman pada usia lewat 30-an.

436202488_892416439564678_8925421753926298244_n

Skuad Kijang Emas mengalami kekalahan tipis ketika berdepan Sabah FC.Facebook/KDN FC

Pada 19 April lalu, Park Jaehong, 46, dari Korea – bekas jurulatih Bucheon FC dan Yangju Citizen dalam divisyen dua Liga-K -- diperkenalkan sebagai ketua jurulatih menggantikan Ailton Dos Santos Silva sempena majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain KDN FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Pemilihan jurulatih dari Korea dan kedatangan empat import Korea diharapkan Rezal dapat mencetuskan sesuatu yang positif dalam pasukan.

“Kami faham semua orang mahukan result tapi yang penting nampak peningkatan pasukan,” katanya merujuk kepada semangat melawan pemain-pemainnya untuk bangkit selepas ketinggalan 1-3 kepada Sabah FC sehingga minit ke-90 untuk merapatkan kedudukan kepada 2-3 menerusi gol Kyung-Hwan dalam masa kecederaan.

“Kebangkitan kami untuk jaring gol lewat itu berpunca daripada dorongan semangat yang diberikan penyokong. Pasukan tak patah semangat dan kami tak takut untuk tukar pemain hinggakan pemain tempatan kami pun naik semangat untuk main bagus,” tambahnya.

Diminta membuat perbandingan dalam analisisnya terhadap kekalahan pertama kepada Sri Pahang FC dan kekalahan kedua kepada Sabah FC, Rezal menyimpulkan sudah banyak peningkatan ditunjukkan pemain-pemainnya untuk mereka meraih lebih keyakinan menghadapi perlawanan berikut.

441524663_888124846660504_1473355096074711500_n

Kekalahan kepada skuad Tok Gajah pastinya sukar ditelan. Facebook/KDN FC

“Dengan Pahang, ia baru perlawanan pertama dan ketua jurulatih masih menguji gandingan pemain dan kesesuaian dengan posisi mereka dan cuba mengimbangi cabaran lawan.

“Di Kota Bharu (berdepan Sabah FC), bahagian serangan kami lebih efektif. Pada saya, pemain beraksi dengan lebih terbuka dan berani membuat serangan demi serangan (hingga dapat dua gol). Yang peting pemain sudah tunjukkan peningkatan,” katanya.

KDN FC seterusnya akan berkunjung ke laman Terengganu FC untuk pertembungan ‘derby’ Pantai Timur, Jumaat ini yang diharapkan penolong ketua jurulatih itu akan menjadi titik kebangkitan buat skuad Kijang Emas.

“Yang penting kami perlu cari mata untuk tambahan semangat. Kami perlu dapatkan mata supaya tahap keyakinan meningkat.

“Pemain-pemain import kami juga kini sedar liga kita ini sebenarnya kompetitif dan mereka sanggup berhabis-habisan untuk pasukan.

“Kami tidak mampu keciciran mata lagi dan harap-harap dapat ‘pecah telur’ ketika berhadapan Terengganu,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram