BOLA PEGUN kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
TIADA lagi perlu berkongsi stadium dan tiada juga perkongsian kedudukan dalam kelompok terbawah liga seperti musim lalu sambal Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang dijenamakan semula daripada Kelantan United musim lalu berharap untuk bangkit menagih rasa lebih hormat lawan dalam Liga Super musim 2024/25.
Melepasi syarat pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk bersaing dalam musim baharu berbanding Kelantan FC yang tersisih, KDN FC selaku wakil tunggal negeri itu mahu bukan sekadar menyingkap lembaran baharu, malah seboleh-bolehnya menulis cerita baharu juga dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan – biarpun secara beransur-ansur.
“Kami nakkan pasukan ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar pada musim 2024/25,” kongsi penolong ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya, dengan Bola Pegun.
Bunyinya bercita-cita besar dan seperti sesuatu yang tidak mampu digapai tapi Rezal menyandarkan kepercayaannya kepada pembaharuan yang dilakukan terhadap pasukan untuk ia menjadi elemen kejutan apabila tirai liga disingkap pada 10 Mei – menamatkan penantian hampir lima bulan sejak perlawanan terakhir liga musim 2023 pada 17 Dis lalu.
“Musim lalu, kami berkongsi Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan Kelantan FC. Dengan kedua-dua pasukan mengakhiri musim di tangga ke-12 dan 14 – dibezakan sembilan mata di antara kedua-duanya – stadium ini umpama lubuk mata kepada pasukan pelawat.
“Kami mahu mengubah tanggapan itu. Sasaran kami ialah untuk memanfaatkan kelebihan sebaik mungkin setiap kali turun bermain di tempat sendiri bagi memastikan kutipan mata dan seboleh-bolehnya tidak keciciran mata.
“Kami perlu mencari keyakinan di tempat sendiri dahulu dan membinanya dari situ tapi ini tidak bermakna kami akan mudah menyerah di tempat lawan,” tambahnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Bosan jadi bek, Gabriel Peres jadi bidan terjun sarung 'glove' penjaga gol
KDN akan memulakan saingan Liga Super dengan berdepan Sri Pahang. — KDN FC
Sebagai wakil tunggal Kelantan, jurulatih itu percaya sokongan peminat hanya akan tertumpu kepada mereka dan tidak lagi terbahagi dua seperti musim lalu. Peminat fanatik Kelantan boleh dijangka akan berdiri kukuh di belakang KDN FC dengan percaturan baharunya.
KDN FC sudah menandatangani sembilan pemain import -- kelab kedua memiliki pemain import paling ramai didaftarkan selain Johor Darul Ta’zim (JDT) -- hingga presiden kelab, Rozi Muhamad, mengisytiharkan pada 16 April lalu bahawa pasukan itu sudah lengkap.
Pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin, 42, bagaimanapun tidak lagi akan membantu pasukan selepas dikhabarkan menyertai kelab Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletics.
Kepada Valdumar Augusto (Guinea), David Ribera Viana (Bolivia), Ghadrack Lukombe Muzungu (Congo), Oday Kharoub (Palestin), Michal Jerabek (Republik Czech), serta empat pemain dari Korea Selatan, Kim Ri-gwan (21 tahun), Jung Byung-ju (20), Koo Ahoe (22) dan Bae Kyung-hwan (22), KDN FC akan mempertaruhkan perubahan nasib.
Disorot bahawa keempat-empat muka baharu dari Korea itu rata-rata berusia awal 20-an, Rezal menjelaskan pertimbangan turut dibuat untuk ada antara mereka akan membarisi pasukan Bawah 23 tahun kelab itu.
Malah, penyenaraian Augusto (26 tahun), Ribera (23), Muzungu (27), Kharoub (31) dan Jerabek (30) juga menunjukkan penekanan kelab itu kepada faktor kecergasan dan kepantasan berbanding mendapatkan pemain pada usia lewat 30-an.
BACA LAGI: Masih berbisa, Ramadhan dan Nurullaev antara bintang Top 4 cemerlang sepanjang pramusim
Rezal (kanan) menjadi pembantu kepada Park Jaehong. — KDN FC
“Mengikut kira-kira, enam daripada pemain import ini adalah untuk pasukan senior dan tiga untuk pasukan bawah 23. Tapi kesemua sembilan pemain didaftarkan untuk pasukan Liga Super yang tentunya akan diberi keutamaan,” jelas Rezal.
Pada 19 April lalu, Park Jaehong, 46, dari Korea diperkenalkan sebagai ketua jurulatih menggantikan Ailton Dos Santos Silva sempena majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain KDN FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Rozi berkata, Jaehong – bekas jurulatih Bucheon FC dan Yangju Citizen dalam divisyen dua Liga-K -- sebenarnya sudah menerima lamaran mengemudi skuad Kijang Emas pada Februari lalu lagi tapi ketibaannya terlengah ke pertengahan April.
“Pemilihan jurulatih dari Korea dan kedatangan empat import Korea diharap dapat mencetuskan sesuatu yang positif dalam pasukan,” kata Rezal.
Harus ramai yang tertanya-tanya sejauh mana kemampuan pasukan ini. Jurulatih itu membiarkan keputusan tiga perlawanan persahabatan di Kota Bharu sebagai bayangan bentuk cabaran yang mampu dihadirkan mereka.
KDN FC menang 3-0 ke atas kelab divisyen tiga Liga Thailand, Pattani FC, disusuli oleh kekalahan tipis 0-1 kepada Sri Pahang FC pada 24 April dan mengalahkan Negeri Sembilan FC 1-0 berselang dua hari. Satu lagi perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC dijadualkan pada Jumaat ini.
“Ketika menentang Sri Pahang FC, kedua-dua pasukan masih dalam proses melakukan uji kaji pemain. Lawan tetap beri ancaman dan ada banyak peluang jaringkan gol. Tapi kami juga tidak bernasib baik apabila dapat sepakan penalti tapi diselamatkan penjaga gol.
“Muzungu hanya dapat beraksi sekejap apabila terseliuh pergelangan kaki dan terpaksa dikeluarkan,” katanya.
Berkongsi bahawa pihak pengurusan meletakkan sasaran untuk KDN FC berada dalam kelompok pertengahan liga musim 2024/25, Rezal berkata, tanggungjawab lebih besar ialah untuk membawa naik nama Kelantan semula.
“Kita masih ingat bagaimana slogan ‘This is Kota Bharu’ di Stadium Sultan Muhammad IV pernah menimbulkan rasa gemuruh pasukan pelawat. Alangkah baiknya jika keadaan itu dapat dikembalikan.
“Ini akan jadi satu amanah untuk kami bawa naik nama Kelantan dan sebagai pegawai dan pemain pasukan KDN FC, sudah pasti kami perlu jaga nama negeri dan jalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Rezal lagi.
KDN FC akan membuka kempen musim baharu dengan berkunjung ke gelanggang Sri Pahang FC pada 11 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram