Terlalu lama 'diperap' Terengganu buatkan fans Kelantan mahu saksikan kepulangan anak jati


  • Podium
  • Selasa, 21 Mei 2024

Musim 2021 adalah tahun terbaik Hakimi (kanan) bersama TFC apabila tampil dalam 21 perlawanan Liga Super, selain mencetak lima jaringan gol. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) musim ini mempunyai skuad depth yang boleh dikatakan cukup berpotensi di setiap posisi dengan campuran bintang skuad kebangsaan, pemain import dan 'ubi muda' berkualiti.

Kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan juga pastinya menyumbang kepada masalah minit permainan kepada beberapa tonggak yang tidak dapat bersaing mendapatkan posisi kesebelasan mahupun sebagai pemain gantian.

Hakimi Abdullah antara pemain Terengganu yang masih tidak mendapat kesempatan untuk beraksi bersama skuad utama Sang Penyu setakat dua perlawanan Liga Super berlangsung sejak 11 Mei lalu.

BACA LAGI: Keputusan AFL beri Kelantan 'masa tambahan' daftar pemain undang pertikaian

BACA LAGI: [VIDEO] Kalau ada kuasa, saya tolak penyertaan pasukan AFL — Safee Sali

Pemain kelahiran Kelantan berkenaan sudah menyertai skuad Sang Penyu sejak 2021, namun Hakimi masih sukar untuk beraksi secara konsisten sebagai kesebelasan utama Terengganu FC.

Jika dilihat berdasarkan statistik perlawanan sejak 2021, musim terbaik Hakimi bersama Terengganu adalah pada tahun pertamanya apabila dia diberikan peluang beraksi dalam 21 perlawanan Liga Super, selain mencetak lima jaringan gol dan satu hantaran bantuan.

Tonggak berusia 25 tahun berkenaan juga mencatat sejarah indah dalam bola sepak Terengganu apabila hasil gol tunggalnya meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) di saingan Liga Super musim 2021.

Jaringan pemain sayap kiri itu membantu skuad Sang Penyu menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim dan ia adalah kekalahan pertama yang direkodkan di laman JDT.

Namun, sejak dua musim kebelakangan ini, Hakimi semakin jarang dilihat tersenarai dalam kesebelasan utama Terengganu dan kali terakhir beraksi adalah ketika berjumpa Kuching City pada aksi Liga Super tahun lepas.

HAKIMI

Debut Hakimi di saingan Liga Malaysia pada 10 Oktober 2018 ketika menyarung jersi Kelantan FC TRW di dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/KelantanFC

Tidak tahan melihat Hakimi terus memanaskan bangku simpanan Terengganu, penyokong Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengesyorkan untuk memanggil anak jati itu beraksi bersama negeri kelahiran.

"Pemain muda kita diperam di Terengganu, masih berbisa cuma perlu ruang. Harap terbuka hati ke KDN FC," kata penyokong Kelantan, Info Masyarakat Kelantan.

"Kalau dia balik sayap belah kiri boleh bergilir dengan Fazrul Amir," bagi penyokong KDN FC, Haizat Azim.

"Faiz Nasir dengan Hakimi bagus main dengan KDN mesti padu," tambah penyokong skuad Kijang Emas, Faiz Balqis.

Untuk rekod, detik paling diingati ketika Hakimi bersama Kelantan apabila pemain berkenaan menjaringkan hatrik dalam perlawanan menentang UKM FC di saingan Liga Perdana 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram