GAME changer atau dalam bahasa Melayu bermaksud pengubah keadaan. Ia adalah istilah yang sering digunakan dalam bola sepak apabila kemasukan seseorang pemain itu akan berhasil mengubah tempo permainan menjadi lebih menarik untuk ditonton peminat.
Setakat perlawanan minggu kedua Liga Super, tiga aksi dilihat hadir dengan elemen game changer ialah Kelantan Darul Naim (KDN) FC menentang Sabah FC, Selangor menerima kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC menyambut kedatangan PDRM FC.
Tiga perlawanan berkenaan hadir dengan aksi penuh mengujakan, selain gol pada babak akhir yang hadir lewat daripada pemain gantian menjadikan ia semakin menggembirakan penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat.
BACA LAGI: Ofsaid Manuel Ott kecewakan Terengganu, kepala Akhyar jadi sasaran Penang
BACA LAGI: Yusri pasrah ia belum rezeki Perak FC
Gol atau sumbangan dari pemain gantian yang dimaksudkan game changer dalam tiga perlawanan berkenaan jelas memberi perubahan berbaloi buat jurulatih kerana bijak melakukan percaturan dalam penukaran pemain.
Berdasarkan pengamatan Majoriti dari tiga perlawanan pada minggu kedua Liga Super ini, berikut tiga pemain yang berhasil menyelamatkan pasukan mereka;
1) Reziq Bani Hani (Selangor FC)
Tiba ke kem Selangor pada minit-minit akhir perpindahan namun tidak sampai sebulan membiasakan diri dengan suasana Malaysia, Reziq Bani Hani sudah mula disayangi oleh para penyokong Gergasi Merah.
Masakan tidak, pemain kebangsaan Jordan Bawah 23 (B-23) tahun itu dimasukkan pada minit ke-70 ketika menentang KDA FC bagi menggantikan Yohandry Orozco dan pertukaran berkenaan nyata berbaloi apabila kemasukannya jelas memberi kesan kepada jentera serangan pasukan tuan rumah.
20 minit menyarung jersi Merah Kuning, pemain berusia 22 tahun berkenaan menunjukkan kelincahan serta kepantasannya sehingga memberikan masalah kepada benteng pertahanan Sang Kenari.
Reziq Bani semakin menunjukkan wataknya sebagai game changer Selangor apabila gol sulung Gergasi Merah dari Aliff Haiqal Lau berpunca daripada larian pantas bekas penyerang Al-Faisaly itu.
2) Wan Zack Haikal (Perak FC)
Tonggak berpengalaman Perak FC, Wan Zack Haikal membuktikan keberadaannya dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) amat penting bagi mengimbangi pasukan yang banyak menggunakan pemain muda.
Tidak beraksi pada perlawanan menentang Terengganu FC yang berakhir dengan keputusan 1-3 pada 11 Mei lalu namun aksi bertemu PDRM dimanfaatkan sebaiknya oleh Wan Zack apabila dia menyumbang satu gol.
Wan Zack dimasukkan pada minit ke-65 bagi mengisi kekosongan Adilet Kanybekov dan 24 minit kemudian, gol dari pemain berusia 33 tahun itu berhasil menyamakan kedudukan menjadi 2-2 sebelum jaringan babak akhir Ifedayo Olusegun meranap mimpi Kedah.
Meskipun keputusan 2-3 memihak kepada pasukan pelawat namun sekurang-kurangnya peluang diberikan Yusri Che Lah kepada Wan Zack membuktikan bahawa dia merupakan watak yang mengubah serangan Perak menjadi lebih berkualiti.
3) Bae Kyung-hwan (KDN FC)
Pemain import kelahiran Korea Selatan, Bae Kyung-hwan tiba ke KDN FC bersama tiga lagi rakan senegaranya iaitu Kim Ri-gwan, Koo Ah-oe, dan Jung Byung-ju pada Mac lalu bagi saingan Liga Super dan Piala MFL.
Tuah buat Kyung-hwan apabila pengendali skuad Kijang Emas, Park Jae-hong menurunkan dia pada aksi Liga Super menentang Sabah FC apabila khidmatnya digunakan pada minit ke-79 perlawanan.
Walaupun golnya pada babak masa tambahan tidak memberi kesan keputusan menentang Sabah FC, yang berakhir dengan keputusan 2-3 namun sumbangan Kyung-hwan menyelamatkan KDN FC daripada tewas dengan jurang besar.
Sedikit info mengenai pemain berusia 22 tahun berkenaan, Kyung-hwan sebelum ini beraksi untuk kelab universitinya dan secara tidak langsung, pemain itu terlibat dalam pembentukan bakat bersama kelab di Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram