MASA depan gergasi Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi tanda tanya selepas pemilik kelab itu, Tan Sri Mohd Daud Bakar mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan dengan masalah kewangan.
Menurutnya, dengan kewangan yang ada ketika ini, pasukan KDA FC dijangka bertahan kurang daripada dua bulan.
Difahamkan, ia susulan selepas penaja utama kelab KDA FC menarik diri daripada menaja pasukan berkenaan hingga menyebabkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu serba kekurangan dari aspek kelengkapan seperti jersi pasukan dan pengangkutan pasukan.
BACA LAGI: Ofsaid Manuel Ott kecewakan Terengganu, kepala Akhyar jadi sasaran Penang
BACA LAGI: Yusri pasrah ia belum rezeki Perak FC
Syafiq dijangka akan pulang ke pangkuan Harimau Selatan. — Facebook/KDA FC
Situasi itu nyata menimbulkan persoalan buat para pemain, apakah nasib mereka? Adakah mereka bakal berdepan satu lagi detik sukar ketiadaan gaji disebabkan hal tersebut?
Dalam pada itu, nama penyerang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad mencuri tumpuan penyokong kerana memainkan watak penting dalam misi skuad Kenari mencapai kejayaan musim ini.
Syafiq mencipta rekod apabila menjadi pemain tanah air yang pertama membuka akaun jaringan ketika Sang Kenari beradu tenaga berdepan PDRM dalam perlawanan pertama Liga Super 2024 pada 11 Mei lalu.
Tetapi dengan perkhabaran kurang enak ini, adakah masa Syafiq bersama pasukan Hijau Kuning akan berakhir secara pramatang untuk kali kedua? Adakah akhirnya dia akan balik semula kepada JDT pada pertengahan musim?
Sekiranya Syafiq kembali ke pangkuan Harimau Selatan, pastinya ia akan merencatkan corak permainan dan taktikal yang sudah diterapkan oleh Nafuzi. Selain Syafiq, terdapat seorang lagi tonggak pinjaman yang berisiko kehilangan kelab.
1. Faiz Nasir
Faiz Nasir merupakan pemain baharu Sang Kenari yang juga merupakan pinjaman daripada Terengganu FC (TFC).
Faiz dikenali sebagai penyerang sayap berpengalaman yang dipercayai mempunyai keupayaan menyambar peluang di depan gawang lawan untuk menjadi mesin pencetak gol skuad Hijau Kuning.
Selain Syafiq, nama Faiz antara mencuri tumpuan sekiranya Sang Kenari tidak dapat meneruskan perjuangan dalam Liga Super 2024.
Faiz ketika beraksi bersama Terengganu FC pada musim lepas.
Meskipun begitu, Faiz masih mempunyai peluang untuk beraksi dalam Liga Super kerana statusnya hanya sebagai pemain pinjaman di kem Sang Kenari.
Di samping Faiz, dua pemain Sabah FC yang baru ditandatangani musim ini juga mungkin tampil tanpa kelab andai Kenari patah sayap.
2. Rizal Ghazali
Bekas bek kanan Sabah FC, Rizal Ghazali antara pemain yang membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk balik ke kampung halaman iaitu Kedah.
Meskipun beraksi cemerlang bersama Sang Kenari musim ini, namun nama Rizal antara yang terpalit sekiranya Sang Kenari tidak beraksi dalam Liga Super.
Rizal dijangka bergelut untuk mendapatkan minit permainan musim ini. — Facebook/KDA FC
Pastinya, khabar duka yang singgah di kem Sang Kenari itu memberi sedikit tekanan kepada Rizal kerana dijangka tidak akan beraksi saingan Liga Super.
Melihat kepada keadaan tersebut, pastinya Rizal antara tonggak Sang Kenari yang dilihat akan kehilangan kelab musim ini.
Ia sekali gus boleh memberi kesan kepada minit permainan dan kesukaran untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan.
3. Irfan Zakaria
Selain Rizal, rakan sepasukannya ketika di Sabah, Irfan Zakaria dijangka turut menerima nasib yang sama.
Hal ini kerana, Irfan yang juga merupakan bekas pertahanan tengah The Rhinos mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut musim lalu.
Irfan Zakaria menyertai skuad Sang Kenari secara pinjaman pada jendela perpindahan lalu. — Facebook/KDA FC
Beraksi bersama Sang Kenari ketika ini, pastinya ia merupakan khabar yang kurang gembira kerana ia akan mempengaruhi minit permainan Irfan.
Bukan itu sahaja, berita berkenaan pastinya memberikan kesan kepada pembangunan kerana ramai pemain muda kini sedang mengasah bakat bersama Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram