BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
BOLA sepak ada kalanya sangat kejam seperti didapati oleh Yusri Che Lah. Bukannya jurulatih Perak FC itu tidak pernah mengalaminya, namun setiap kali itu berlaku, ia dirasakannya sangat memeritkan.
Mendahului hasil jaringan Tommy Mawat Bada seawal minit kesembilan di Stadium Perak malam tadi, pasukan tuan rumah itu membenarkan PDRM FC mengimbangi kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-24 dan kemudian mendahului hasil sentuhan Bruno Suzuki pada minit ke-72.
Pemain gantian, Wan Zack Haikal Wan Noor, kembali menceriakan 11, 647 penyokong The Bos Gaurus dengan kedudukan 2-2 pada minit ke-88. Diberikan sepakan penalti menuju minit akhir yang kemudian dibatalkan VAR, Perak FC bukan sekadar dinafikan kemenangan, sebaliknya terpaksa menelan kepahitan apabila Ifedayo merembat deras gol kemenangan pelawat dalam masa pemberhentian.
BACA LAGI: Tekad mahu cekau 3 mata pertama, N9, Selangor dan Perak boleh guna bintang Asia
BACA LAGI: Penyakit musim lalu Perak bantu import Piala MFL Terengganu bantai TBG
“Perit untuk menerima kekalahan sebegini,” kata Yusri sebagai memulakan sidang medianya selepas perlawanan. “Sudah pasti saya kena reda, perancangan Allah lebih baik untuk saya dan pasukan.
“Apa pun, kita perlu menerima banyak kelemahan yang berlaku, separuh masa pertama terutamanya. Dua kali kita kena serangan balas kita dihukum dengan dua jaringan.
“Amat-amat pedih keadaan ini tapi apa pun kita belajar daripada kesilapan kita sendiri. Saya faham keinginan fans dan pihak pengurusan. Dengan keadaan terkini pasukan, saya tidak boleh menyalahkan mana-mana (pihak) melainkan diri saya sendiri. Saya ambil tanggungjawab ini 100 peratus,” katanya.
“Malam ini (tadi) agak memberikan satu keputusan yang tidak kita inginkan dan suatu yang agak malang bagi saya kerana di akhir minit kita terpaksa menelan keadaan tersebut.
“Seharusnya malam ni saya mendapat paling kurang satu mata. Saya rasa keputusan seri adalah yang terbaik sebenarnya,” sambungnya.
Perak tewas kepada PDRM menerusi jaringan minit akhir. — Perak FC
Ketika semakan VAR sedang dilakukan untuk sepakan penalti selepas pemain sayap, Lee Tae-min, dijatuhkan Alif Najmi berhampiran sudut kiri petak penalti menuju penghujung permainan, Yusri ditunjukkan kamera televisyen terkumat-kamit di tempat duduknya – pastinya mendoakan yang terbaik untuk pasukannya.
Namun, ia bukan rezekinya kerana semakan VAR mendapati kesalahan itu dilakukan di luar petak penalti. Sepakan percuma kapten, Luciano Goeycochea, pula terus ke dakapan penjaga gol pelawat, Bryan See.
“Sebenarnya bila dah ada VAR ni, kita dah melatih diri kita untuk menerima permainan melebihi 90 minit. Jika dilihat kejadian di akhir minit tadi (90+3) yang membolehkan sepakan penalti diterima, saya tidak kompelin mana-mana.
“Keputusan sebegitu seandainya kita dapat kita mungkin menang tapi Allah lebih mengetahui. Keputusan VAR itu lebih adil sebenarnya untuk kedua-dua pasukan kerana mungkin tanpa VAR tadi sudah pasti kita dah menang.
“Tapi kerana VAR kita tidak dapat sepakan tersebut dan dalam masa sama kita ditewaskan dengan jaringan minit-minit terakhir (oleh Ifedayo),” tambahnya.
Di sebalik semua itu, Yusri mengakui pasukannya belum mencapai tahap terbaik mereka hingga belum membolehkannya untuk mengatakan Perak FC sudah ada banyak peningkatan tapi pastinya lebih baik daripada ketika kalah 1-3 di Kuala Terengganu dalam perlawanan pembukaan pada 11 Mei.
Memuji pemain-pemainnya agak bersemangat malam tadi, jurulatih itu akur ia tidak cukup untuk memberi mereka kemenangan pertama musim ini.
Jika diimbau musim lalu, The Bos Gaurus gagal meraih mata penuh dalam tiga perlawanan pertamanya – tewas 1-4 kepada Kedah FC, seri 0-0 dua perlawanan berikutnya dengan PDRM FC dan Kelantan United FC sebelum mencipta kemenangan pertama ke atas Kuching City FC 2-0.
“Dua perlawanan pertama (musim ini), saya masih belum dapat menggunakan keseluruhan pemain dan bukan itu alasan. Cuma dalam keadaan enam pemain import dalam semua pasukan, itu memberi ruang dan kekuatan tambahan kepada pasukan.
“Mungkin orang melihat kenapa saya tak gunakan lima ataupun enam (import) tapi (Luiz) Motta tiada akibat penggantungan, Sunday (Afolabi) masih dalam kecederaan, Luka baru sembuh dan juga Wan Zack. Disebabkan keadaan tersebut, saya hanya menggunakan dalam 25 minit terakhir.
“Jadi, segala percaturan adalah kepada pemain yang kita ada sahaja, yang tetap memberi tanggungjawab yang baik.
“Cumanya agak terlewat untuk sedar apabila kita mendahului, kita didahului selepas itu, kemudian kita comeback untuk mencari gol penyamaan. Ada bersemangat tapi saya faham tidak mencukupi untuk kita mendapat keputusan terbaik malam ini,” katanya.
Yusri tidak lokek memberi pujian kepada pemain sayap berusia 21 tahun, Tae-min, yang dianggapnya banyak memberikan opsyen dalam serangan pasukan dan pasti akan menimbulkan masalah kepada pasukan lawan.
“(Bukan dia sahaja), saya mengharapkan pemain lain berada dalam kondisi terbaik kerana selepas ini kita akan bertemu pasukan yang lagi kuat, Kedah FC (24 Mei) dan Selangor FC (23 Jun).
“Kita menjangkakan kita cuba mendapatkan mata di Kedah dan Selangor. Sudah pasti pasukan tuan rumah akan habis-habisan untuk menyerang, kita akan cuba bertahan dengan baik.
“Kita tidak boleh leka seperti mana terjadinya dalam perlawanan malam ini – dua jaringan daripada serangan balas. Sudah pasti dalam dua perlawanan, enam gol yang dilepaskan agak besar bagi saya,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram