MUTU pengadilan Liga Malaysia (Liga M) sering menjadi topik hangat setiap perlawanan kerana sering dikaitankan dengan isu tidak konsisten, kerap melakukan kesilapan dan berat sebelah.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Sabtu lalu.
Dalam aksi tersebut, Selangor FC dan JDT terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 1-1.
Gol pelawat diraih menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan Zulkarnain kepada JDT yang disempurnakan oleh Bergson da Silva pada minit ke-33 untuk mendahului skuad Gergasi Merah, sebelum anak didik Nidzam Jamil bangkit di babak kedua dengan ledakan Herlison Caion pada minit 65.
Perkara ini turut mengundang perhatian media luar negara, BBC Sports yang mempersoalkan keputusan pengadil perlawanan terbabit kerana memberikan penalti kepada pendahulu liga itu.
BBC Sports turut menyarankan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperkenalkan sistem Video Assistant Referee (VAR) dalam perlawanan Liga Super.
Seolah-olah tidak mengendahkan 'aduan' Johan mahupun pendapat media luar negara, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya mengumumkan bahawa keputusan Zulkarnain memberikan sepakan penalti kepada JDT pada Sabtu lalu adalah tepat.
Penalti yang diberikan Zulkarnain membolehkan Bergson menyumbangkan gol untuk JDT. — Facebook/ JDT
Mengulas insiden itu, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, VAR bukanlah jawapan kepada masalah mutu pengadilan yang dihadapi Liga M sekarang ini, tetapi persepsi masyarakat terhadap pengadil itu sendiri perlu berubah.
Tambahnya, tekanan daripada para penyokong sering kali membuatkan pengadil bertugas lebih cenderung untuk melakukan kesalahan yang akhirnya menjadi isu dalam sesuatu perlawanan terlibat.
"Umum mengetahui bahawa kos untuk memasang sistem VAR itu sangat tinggi dan sukar bagi FAM atau MFL untuk menyediakan kemudahan tersebut di semua venue perlawanan. Lagipun, dengan adanya VAR pun tidak akan menjamin semua orang akan berpuas hati dengan keputusan pengadil.
"Sebagai contoh di Liga Perdana Inggeris (EPL) sekarang ini pun ada isu berkenaan dengan pengadilan. Di sana mereka salahkan pengadil VAR dan mempertikaikan keputusan yang diambil. Oleh itu, VAR tidak akan mampu membuatkan sesuatu perlawanan itu 'bersih' tanpa sebarang rungutan," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM itu turut menyarankan FAM dan MFL mengenal pasti pengadil yang sering melakukan kesilapan supaya kesilapan sama tidak berulang.
"FAM perlu pastikan disiplin yang tinggi dalam pengadilan. Jika dapat kenal pasti siapa yang ada kelemahan, rehatkan dan beri mereka kursus berkaitan untuk perbaiki kelemahan tersebut. Jangan dibiarkan sahaja sampai berulang-ulang.
"Sekiranya teruk, gantungkan sahaja. Tetapi, di samping kita mengharapkan perubahan kepada mutu pengadilan, kita juga perlu memahami situasi FAM dan MFL yang tidak mampu untuk menyediakan VAR," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram