PADA 24 April lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendesak kerajaan supaya melaksanakan reformasi dalam proses pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk bagi jawatan Pengerusi.
Dalam satu kenyataannya, jawatankuasa pemandu pertubuhan masyarakat sivil itu berkata, kaedah pelantikan itu perlu dilakukan melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif.
Jelasnya, langkah tersebut penting untuk dilaksanakan untuk mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR yang mempunyai tanggungjawab perlembagaan melaksanakan pilihan raya termasuk persempadanan semula.
BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
Sehubungan itu, BERSIH mencadangkan mekanisme pelantikan ahli-ahli SPR perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya supaya proses berkenaan dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang.
Gesaan itu dilakukan di tengah-tengah berlakunya kekosongan bagi jawatan Pengerusi SPR susulan daripada persaraan penyandangnya Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada 9 Mei lalu.
Setakat ini, kerajaan masih berteka-teki mengenai calon bakal dilantik bagi jawatan tersebut.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan tersebut, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau secara asasnya berpandangan tiada keperluan untuk melaksananya reformasi terhadap kaedah pelantikan berkenaan.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.
Ujarnya, ini kerana, proses sedia ada yang digunakan disifatkannya sudah mencukupi termasuk untuk memastikan kebebasan SPR.
Jelas beliau, meskipun kaedah pelantikan berkenaan dilakukan bermula dengan cadangan nama daripada Perdana Menteri, ia turut melalui proses semakan daripada Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mekanisme mudahkan pengundi luar
Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan syarat yang cukup ketat bagi pemilihan calon yang hendak dicadangkan bagi mengisi jawatan tersebut.
Disebabkan itu, Wan Ahmad berkata, terdapat pelbagai lagi reformasi yang dilihat lebih mendesak perlu dilakukan kerajaan dan SPR khususnya dalam meningkatkan proses demokrasi pilihan raya di dalam negara.
Antara reformasi tersebut menurut beliau adalah usaha bagi mewujudkan mekanisme memudahkan pengundi luar terutamanya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak untuk membuang undi tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.
Katanya, ketika ini, ramai daripada pengundi di negeri Borneo itu hilang hak mereka untuk mengundi akibat daripada kekangan untuk pulang ketika hari mengundi.
Wan Ahmad berkata, satu lagi reformasi mendesak boleh dilaksanakan adalah berkaitan penambahbaikan terhadap sistem undi awal. — Gambar hiasan
"Kenapa pengundi luar dari Sarawak contohnya, kenapa perlu balik ke Sarawak baru boleh mengundi dan mereka juga memerlukan belanja yang besar. Pada masa sama, ada juga pihak yang membiayai perjalanan mereka untuk pulang mengundi.
"Ini membuka ruang kepada rasuah dan integriti. Jadi, kenapa tak boleh kita buka satu pusat pengundian di Semenanjung di tempat di mana mereka bekerja. Ini satu peringkat pentadbiran pilihan raya yang perlu dibuat reformasi," katanya kepada Majoriti.
Menurut Wan Ahmad, proses undi luar itu juga perlu meliputi pengundi Semenanjung yang bekerja di Borneo.
Sistem undi awal
Selain daripada itu, Wan Ahmad berkata, satu lagi reformasi mendesak yang boleh dilaksanakan adalah berkaitan dengan penambahbaikan terhadap sistem undi awal.
Katanya, sistem tersebut sepatutnya diperluaskan lagi kepada lebih ramai kumpulan pekerja dan tidak terhad hanya kepada mereka yang berkhidmat di agensi kerajaan seperti pasukan tentera, polis dan beberapa lagi badan penguat kuasa lain.
"Macam mana pula dengan mereka yang bekerja di sektor penerbangan, seperti juruterbang dan kru penerbangan yang bertugas semasa hari mengundi. Mereka akan hilang hak mengundi.
"Kedua, orang yang bekerja di pelantar minyak contohnya di Terengganu atau Sarawak. Di situ tiada tempat mengundi, mereka juga hilang hak mengundi dia.
"Begitu juga dengan orang yang sakit terlantar di hospital. Ramai yang hilang hak mengundi kerana mereka terlantar di hospital. Sedangkan banyak negara di luar kumpulan ini masih diberikan hak mengundi dengan kaedah tertentu," ujarnya.
Wan Ahmad berkata, kedua-dua langkah reformasi tersebut dilihat dapat secara langsung meningkatkan lagi kadar peratusan keluar mengundi ketika pilihan raya.
"Jadi (reformasi) ini lebih penting dalam keadaan negara kita yang mana persaingan politik begitu sengit, semua parti politik berebut untuk menambah jumlah undi, maka setiap orang yang mempunyai hak mengundi ini, perlu kita memastikan hak mereka itu terjamin," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram