Akaun palsu, 'troll' kena berhenti sebar kebencian terhadap pemain, tegas Presiden FAM


  • Podium
  • Ahad, 19 Mei 2024

Hamidin berkata akaun palsu di media sosial menjadi punca tersebar kebencian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan. — FAM

MUSIM 2024/2025 bagi bola sepak Malaysia dimulakan dengan cerita yang amat tidak didengar. Di kala semua teruja dengan musim, jersi dan pemain baharu, Malaysia dikejutkan dengan insiden pemain diserang dekat tempat awam.

Bermula dengan kes samun dan pukul Akhyar Rashid, kemuncaknya apabila Faisal Halim disimbah asid hingga melecur tahap 4 sebelum kereta milik Safiq Rahim dipecahkan lelaki tidak dikenali.

Kejadian yang berlaku dalam masa singkat itu nyata merisaukan. Adakah ia akan menjadi titik permulaan kepada budaya sokongan yang tidak sihat dalam bola sepak Malaysia?

BACA LAGI: Hamidin saran pemain guna khidmat pegawal peribadi

BACA LAGI: Popular dalam kalangan Exco FA, kedudukan Hamidin sebagai Presiden FAM sukar dicabar termasuk KJ

20240507104652_0R1A9333

Hamidin mahu budaya sebar kebencian dalam bola sepak tidak lagi disebarkan. — FAM

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dia melihat budaya yang tidak sihat ini bermula dari media sosial.

Bercakap secara eksklusif kepada Majoriti, kewujudan laman-laman berunsur troll serta akaun-akaun palsu yang menyebar kebencian dalam kalangan penyokong bola sepak di negara ini telah menyebabkan ia menjadi punca insiden buruk melanda Akhyar dan Faisal.

"Pada saya, sebahagian besar penyokong bola sepak di negara ini adalah baik, cuma segelintir saja yang berperangai buruk. Tetapi, yang kita risau adalah kewujudan laman-laman palsu (di media sosial).

"Kita perlu menyeru kepada kebaikan. Bola sepak ini bukannya tempat untuk bergaduh, kita cuma 'bergaduh' ketika perlawanan. Semua pihak perlu beri kerjasama, FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan semua ahli gabungan perlu membantu penyokong untuk berkelakuan tidak melampaui batas," kata Hamidin.

Tambah Hamidin, dia meminta agar kebencian yang ditanam dihentikan dengan segara. Berhenti melaga-lagakan sesama penyokong terutamanya dalam situasi sukar ini.

Sebaliknya, doa harus dipanjatkan kepada ALLAH supaya para pemain yang terkesan cepat sembuh.

"Saya menyeru kepada warganet, laman-laman media sosial serta penyokong bola sepak, berhentilah melaga-lagakan semasa sendiri. Tak perlu untuk buat benda tak betul.

"Berhentilah sebarkan kebencian, waktu ini sama-sama kita doakan Faisal untuk cepat sembuh. Dengan kuasa ALLAH, dia boleh sembuh dengan segera," ujar Hamidin.

Dalam pada itu, Hamidin mengatakan yang Faisal tidak akan dipilih untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei pada Jun kelak.

Dia mendedahkan yang perkara itu telah disampaikan kepada Kim Pan-gon dan jurulatih kebangsaan itu mengerti situasi yang menimpa bintang negara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram