SELANGOR FC dan Perak FC pastinya sudah mempersiapkan pasukan masing-masing untuk mendapatkan tiga mata pertama selepas minggu lalu menyaksikan kedua-dua kelab berkenaan gagal meraih kemenangan.
Selepas tewas 1-3 di tangan pasukan Terengganu FC (TFC) pada 11 Mei lalu, skuad The Bos Gaurus (TBG) dijadual menentang PDRM FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu dengan misi ingin mendapatkan tiga mata pertama di laman sendiri.
Manakala, skuad Gergasi Merah pula tidak berpeluang mendapatkan kemenangan selepas perlawanan pertama dibatalkan apabila Selangor memutuskan enggan hadir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas insiden menimpa Faisal Halim.
BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
Selain Perak dan Selangor FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) juga menanam impian untuk sekurang-kurangnya mengikat Harimau Selatan dalam perlawanan pertama Liga Super mereka pada Sabtu.
Perlawanan di hadapan penyokong Harimau Selatan berkenaan pastinya menuntut anak-anak buah Azzmi Ab Aziz untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perancangan yang disusun agar persembahan terbaik dan berkualiti dapat diperagakan.
Menjelang perlawanan demi mendapatkan tiga mata pertama berkenaan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan disarankan untuk menurunkan bintang Asia mereka selepas sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang pada aksi pertama dan sesi pramusim.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain berdarah Asia yang boleh dipertaruhkan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pada Sabtu;
1) Takumi Sasaki (Negeri Sembilan)
Sasaki (berbaju kuning) hadir ke Negeri Sembilan dengan beraksi pada saingan J League divisyen tiga. — Facebook/NSFC
Takumi Sasaki diterbangkan dari Jepun dengan profil yang kurang memberangsangkan kerana hanya berbekalkan pengalaman beraksi bersama pasukan J3 League (divisyen ketiga Jepun) iaitu Ehime FC.
Walaupun begitu, pemain berusia 26 tahun berkenaan menunjukkan kualiti tersendiri apabila mencatatkan tiga gol dan mencatatkan tiga hantaran bantuan dalam empat perlawanan persahabatan skuad Jang.
Persembahan yang memukau penyokong Negeri Sembilan itu membuatkan penyokong ingin menyaksikan pemain berjersi tujuh tersebut diletakkan sebagai tonggak utama bagi menentang skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Kelebihan tonggak bertubuh kecil itu apabila pemain tengah menyerang itu boleh membantu bahagian serangan skuad Jang Hobin dengan melakukan gerakan-gerakan yang berbahaya ke kubu lawan.
2) Reziq Bani Hani (Selangor)
Reziq Bani ketika sesi latihan bersama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Pemain kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun Jordan, Reziq Bani Hani tiba pada minit-minit akhir sebelum jendela perpindahan ditutup bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Gergasi Merah.
Penyerang tengah dari negara Asia Barat itu tiba dengan reputasi tersendiri selepas membantu bekas kelabnya, Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekali gus memberikan kelebihan buat Gergasi Merah bagi menghadapi ACL 2 musim ini.
Reziq Bani dijangka akan menjadi taruhan Nidzam Jamil untuk menggantikan Faisal Halim walaupun dia masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia kerana baru sahaja tiba di kem Gergasi Merah pada awal Mei ini.
Sebelumnya, Nidzam turut menyenaraikan Mukhairi Ajmal untuk mengisi kekosongan berkenaan namun penyokong lebih menginginkan Reziq Bani diturunkan kerana teruja untuk menyaksikan corak permainan pemain berusia 22 tahun itu.
3) Lee Tae-min (Perak FC)
Antara aksi Tae-min menentang Terengganu FC pada aksi pertama Liga Super. — Facebook/PerakFC
Import baharu Korea Selatan Perak FC, iaitu Lee Tae-min menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan pengalaman beraksi dalam saingan K League di Korea Selatan bersama Busan Ipark serta beberapa kelab lain di negara republik berkenaan.
Kehadiran pemain berusia 21 tahun berkenaan pastinya untuk menambah sengat buat skuad Seladang terutama sekali membabitkan aspek serangan pasukan itu yang agak lemah pada musim lalu.
Kualiti pemain yang pernah beraksi buat pasukan kebangsaan Korea Selatan bawah 17 (B-17) itu menyerlah ketika perlawanan pertama Liga Super Perak menentang Terengganu pada Sabtu lepas dengan gerakan lincahnya mengelirukan pertahanan skuad Sang Penyu.
Selain boleh beraksi selaku pemain sayap kiri, Lee juga mampu mengimbanginya di sebelah kanan serta boleh bermain selaku penyerang utama mengikut kesesuaian taktikal pengendali Perak, Yusri Che Lah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram