Tiga pemain berdarah Selangor boleh bantu NSFC 'lukakan' Harimau Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Hein Htet Aung bersama NSFC untuk musim kedua. — MFL

NEGERI Sembilan FC (NSFC) akan turun buat pertama kali dalam saingan Liga Super apabila mereka berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu.

Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi petang, skuad kendalian Azzmi Aziz berdepan tugas sukar untuk menentang Harimau Selatan.

Namun begitu, mereka masih boleh cuba dapatkan keputusan positif jika aturan strategi ampuh berjaya diterjemah ketika perlawanan.

Dibantu dengan tiga pemain pinjaman dari Selangor FC, NSFC boleh cuba mencipta kejutan dengan menidakkan Harimau Selatan di laman mereka.

BACA LAGI: Hargai sumbangan legenda, Terengganu, NSFC, KL City boleh ikut langkah Kedah

BACA LAGI: 'Legenda sebenar', CEO angkat status bintang veteran Negeri Sembilan FC lepas umum bersara

Syahmi Adib

Penjaga gol ini merupakan salah satu daripada tiga pemain yang dipinjamkan oleh Selangor untuk NSFC. Untuk rekod, Syahmi merupakan penjaga gol kedua dipinjamkan Gergasi Merah kepada skuad Jang.

Sebelum ini, NSFC dimanjakan dengan ketangkasan Sikh Izhan Nazrel pada musim lalu. Kini bersama Penang FC, NSFC perlu bermula semula dengan Syahmi.

Dari segi kualiti, Sikh Izhan mungkin dilihat lebih menyerlah berbanding Syahmi. Tetapi dianggap sebagai prospek hangat dalam kalangan penjaga gol muda, Syahmi boleh menonjol jika diberikan peluang dan minit untuk beraksi.

Namun begitu, Syahmi mungkin tidak diturunkan berdepan JDT kerana Azzmi mungkin lebih mengutamakan Taufiq Ar-Rasyid di pintu gol.

GIOy12_b0AAzu69

Selepas Sikh Izhan, Syahmi merupakan penjaga gol Selangor dipinjamkan ke NSFC. — NSFC

Azrin Afiq

Sebelum ini, Azrin merupakan pemain yang dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC dan kini menghabiskan musim keduanya di luar Selangor bersama NSFC.

Beraksi sebagai pertahanan kiri, Azrin yang juga merupakan pemain skuad bawah 23 (B-23) Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pemain berkualiti di masa akan datang.

Berjaya mengharungi pramusim dengan baik, sudah pasti Azrin berjaya mencuri perhatian Azzmi untuk diturunkan sekali gus membuatkan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama.

Tetapi tugas merantai Arif Aiman bukan mudah. Jika Azrin mampu memberikan persembahan yang baik, dia pasti dapat membantu NSFC memperoleh keputusan positif.

GIh7XECa0AAQIb8

Azrin merupakan pemain pertahanan kiri. — NSFC

Hein Htet Aung

NSFC boleh menyandarkan harapan mendapatkan gol kepada Htet Aung yang dijangka mendapat peranan lebih besar dalam skuad Jang musim ini.

Merupakan musim kedua bersama NSFC, Htet Aung bertekad ingin beri impak lebih besar selepas masanya agak terhad kerana tiba di Paroi pada pertengahan musim 2023.

Dengan beraksi semusim penuh bersama NSFC, pemain Myanmar ini boleh menzahirkan impaknya sebagai pemain sayap dengan larian deras dan penyudah tajam bermula apabila berdepan barisan pertahanan JDT.

Ia mungkin sukar untuknya, tetapi jika dia berjaya melakukannya pasti akan menerima sorakan padu daripada pendukung NSFC serta penyokong Selangor yang sentiasa memerhatikan perkembangannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram