PEMAIN sepak takraw Malaysia, Haziq Hairul Nizam mengakui yang dia mahu berikan yang terbaik buat negara apabila turun ke gelanggang pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Bakal memulakan saingan pada 18 Mei, Malaysia akan turun menentang China pada dalam kategori regu pada 8.30 malam di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Haziq yang beraksi sebagai tekong mengaku moral pasukan ketika ini dalam keadaan baik dan skuad berasa gembira dan bersemangat untuk memulakan kempen kejohanan.
BACA LAGI: Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM
BACA LAGI: Perubahan sistem 15 mata jimatkan kos, relevan ikut keadaan semasa — Pengadil
"Ketika ini, para pemain sekarang sedang berasa gembira dan ingin menikmati kempen kejohanan ini. Kami semua tak sabar ingin bermain," kata Haziq kepada Majoriti.
Pada masa sama, Haziq mengakui keserasian antaranya sebagai pemain junior dengan para pemain senior semakin baik menjelang permulaan Piala Dunia.
Keserasian itu diharap dapat membantunya mengatasi rasa gementar berdepan jaguh sepak takraw dunia dan memberikan aksi terbaik terutamanya di depan penyokong tempatan.
"Keserasian antara pemain junior dengan senior sudah ada. Senang cakap, semangat berpasukan antara kami semua sudah baik.
"Debaran itu memang ada tapi saya anggap ia sebagai cabaran untuk diri sendiri bila beraksi di depan penyokong sendiri," ujar Haziq.
Haziq merupakan satu daripada lima tekong yang dibawa untuk menghidupkan cabaran Malaysia bergelar juara dunia.
Selain Haziq, empat lagi tekong yang membawa cabaran Malaysia adalah Shahir Rosdi, Syahmi Hussin, Zarif Ibrahim dan Zuhri Zain.
Malaysia berdepan China (18 Mei) dan Brunei (19 Mei) untuk aksi peringkat kumpulan kategori regu. Bagi kategori double pula, Malaysia menentang Jepun (19 Mei) dan Brunei (20 Mei).
Untuk kategori berpasukan pula, Malaysia bertemu Brunei (23 Mei) dan Jepun (24 Mei). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram