Popular dalam kalangan Exco FA, kedudukan Hamidin sebagai Presiden FAM sukar dicabar termasuk KJ


  • Podium
  • Ahad, 21 Apr 2024

Hamidin terus dipersalahkan atas persembahan 'suam-suam kuku' dialami skuad senior dan muda kebangsaan.

KEGAGALAN Harimau Muda dan Harimau Malaysia dalam kempen Piala Asia masing-masing menyaksikan pelbagai desakan dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi penyokong, mereka mahu satu rombakan dibuat ke atas badan induk bola sepak tanah air itu yang tidak lagi sesuai dalam menentukan hala tuju sukan itu.

Tumpuan pastinya diberikan terhadap Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin apabila ramai pihak mendesak supaya dia meninggalkan posisinya dengan kadar segera.

BACA LAGI: Bukan Uzbekistan hebat, tapi Harimau Muda main tak cukup bagus — Reduan Abdullah

2649158

Kempen mengecewakan dicatatkan Harimau Muda dalam saingan Piala Asia B-23 baru-baru ini. Facebook/FAM

Tidak cukup dengan itu, desakan dibuat selepas satu 'surat layang' mencuri perhatian meluas dengan Hamidin serta beberapa individu tertinggi FAM didakwa terlibat dengan isu salah guna kuasa.

Jadi, kesemua konflik tersebut menyebabkan ramai pihak mahu menyaksikannya digugurkan dan digantikan seorang calon lebih muda dan progresif.

Bagaimanapun, bagi Majoriti, pandangan untuk menyaksikannya meninggalkan posisi Presiden FAM masih sukar meskipun ia diharapkan pelbagai pihak.

Melihat kepada situasi terkini, terdapat tiga sebab desakan untuk menyaksikan Hamidin digugurkan tidak akan kesampaian dalam masa terdekat.

1. Popular dalam kalangan wakil FA

Umum mengetahui bahawa Presiden FAM hanya akan dilantik sekiranya seseorang itu mendapat sokongan mencukupi daripada wakil persatuan bola sepak (FA) negeri.

Jadi, dalam mendapatkan undian kukuh, calon yang mahu bertanding perlu mempunyai imej tersendiri untuk membolehkannya menambat hati masing-masing.

BACA LAGI: Menang tipis tapi kualiti penyudah Harimau Muda kena lebih tajam

434941613_1123052172101351_4156102091295819293_n

Hamidin (bawah, tengah) masih merupakan figura ternama dalam kalangan wakil FA negeri. Facebook/FAM

Hamidin boleh dikatakan memenuhi kriteria itu memandangkan tiada wakil mana-mana persatuan negeri pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadapnya.

Perkara itu sahaja sudah cukup untuk mengatakan Presiden FAM tersebut akan kekal berada di tampuk pemerintahan untuk beberapa tahun lagi.

Tetapi, sekiranya dia terus membuatkan keputusan meragukan, terdapat kemungkinan sokongan terhadapnya akan goyah dalam tahun-tahun akan datang.

2. Tiada calon terbaik

Seperti mana disebut dalam Undang-undang FAM, presiden persatuan itu hanya akan dipilih dalam kalangan wakil FA negeri dengan ia merupakan syarat utama untuk dicalonkan.

Jadi, untuk menggantikan Hamidin, seseorang lebih layak dan berkaliber perlu melangkah ke hadapan dan membuktikan nilai dimilikinya dalam menentukan hala tuju bola sepak negara.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada yang memiliki karisma sedemikian kerana masing-masing masih bergelut untuk memajukan negeri tersendiri.

2650990

Nama Khairy beberapa kali disebut sebagai pengganti Hamidin sebagai Presiden FAM.

Meskipun ada yang mengatakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai salah seorang figura paling layak, dia yang bukan ahli FA negeri tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Selain itu, Presiden FA Selangor, Tengku Amir Shah juga pastinya sukar mendapat sokongan kerana dia sendiri lebih tertarik untuk menaikkan Selangor FC.

Situasi sebegini akan menyaksikan Hamidin kekal di posisinya sehingga penghujung penggal dengan terdapat kemungkinan buatnya meneruskan tempoh pemerintahan pada pemilihan akan datang, iaitu pada 2025.

3. Pengaruh dalam FIFA

Pada Februari tahun lalu, Hamidin menaikkan mutu bola sepak negara apabila dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 dengan ia adalah satu pencapaian terbaik buatnya.

Kedudukan sedemikian pasti membanggakan rata-rata penyokong kerana kali terakhir seorang bekas anggota tertinggi FAM memegang jawatan dalam badan induk bola sepak global itu ialah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai naib presiden dari 1982 sehingga 1990.

mid01_1675247057

Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA dari 2023 sehingga 2027. Facebook/FAM

Pemilihan tersebut menaikkan lagi reputasi sukan itu di mata dunia, lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya dan Harimau Muda melangkah ke Piala Asia masing-masing.

Kredibiliti sedemikian akan mengekalkan namanya sebagai individu terbaik untuk menentukan masa depan bola sepak tempatan sehingga tamat tempoh bersama badan induk bola sepak global terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram