KANCAH bola sepak di Malaysia musim ini menerima kejutan apabila berlaku tiga serangan terhadap Akhyar Rashid, Faisal Halim serta Safiq Rahim.
Serangan pertama ditujukan kepada Akhyar dengan dia disamun dan dipukul dekat kediamannya di Kuala Terengganu pada 2 Mei.
Serangan itu membuatkan dia mengalami kecederaan dekat kepala dan kaki serta kerugian sekitar RM5,000.
BACA LAGI: Akui hadapi trauma tapi semangat Akhyar bantu Terengganu tak pernah pudar
BACA LAGI: [VIDEO] Terima kasih atas doa, kini saya bersedia — Akhyar Rashid
Akhyar boleh turun beraksi bertemu Penang. — Terengganu FC
Selepas berehat seketika akibat insiden yang berlaku, Akhyar dilaporkan boleh kembali beraksi dengan Terengganu FC berdepan Penang FC di George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Di sebalik keterujaan pemain itu untuk kembali, terdapat perkhabaran kurang enak apabila Akhyar masih lagi berada dalam ancaman individu yang mahu menyerangnya.
Memetik laporan TV Darul Iman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pusat Latihan TFC di Gong Badak terpaksa dikawal rapi dengan sesi latihan diadakan secara tertutup.
Hal ini kerana, masih terdapat individu tidak dikenali cuba mengekori Akhyar.
"Ekoran kes yang timbul Pusat Latihan kini terpaksa ditutup sementara dan para pemain menjalani latihan secara tertutup kerana didapati pergerakan Akhyar diikuti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Selain itu polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, kita juga diminta agar melaporkan pergerakan pemain kepada pihak polis.
"Sebagai langkah keselematan, kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan tersebut," kata Hishamuddin.
Perkembangan yang dilaporkan oleh Hishamuddin itu nyata menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong TFC.
Sudah pasti, mereka tidak mahu Akhyar atau mana-mana pemain lagi menjadi mangsa keganasan hingga menganggu perjalanan karier mereka. Disebabkan itu, ada yang mahu pemain Harimau Malaya tersebut mengupah pengawal peribadi.
"Pasang bodyguard," ujar penyokong bernama Ahmad Syaqir.
"Pasang bodyguard, Akhyar. Upah dalam empat orang pun okay. Jadi macam bodyguard Messi tu, ikut sampai ke padang," cadang penyokong bernama Muhammad Bukhari II.
"Memang ada niat tu. Kalau dapat tangkap, ikat dekat tiang bendera dulu. Beratur ramai-ramai kasi 'jentik' sampai 'tinggal kenanangan' je nanti," kata Syed Mokhtar.
Terdapat juga seruan meminta penyokong Terengganu bersama-sama menjaga keselamatan Akhyar supaya dia tidak lagi dicederakan.
Ternyata, apa yang berlaku menimbulkan kerisauan bukan saja penyokong Terengganu, tetapi pengikut Liga Malaysia secara amnya.
"Mana rakyat Terengganu semua? Mari pakat-pakat jaga orang kita. Sama-sama perhati pergerakan yang mencurigakan, lagi-lagi bila Akhyar ada di kawasan itu. Orang kita tak buat macam ni, mesti orang luar. Kalau dapat, kita pukul sambil lembik," kata Muhd Nur Firdaus.
"Kena ada mata-mata yang menjaga Akhyar, supaya mereka yang mengekori tu beringat," ujar Ahmad Lukman Ismail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram