'Legenda sebenar', CEO angkat status bintang veteran Negeri Sembilan FC lepas umum bersara


  • Podium
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Kahar berharap dapat menjadi Jurulatih Penjaga Gol Negeri Sembilan selepas bersara.  — Facebook/NSFC

SELEPAS 15 tahun menabur bakti buat tanah kelahiran, Kaharuddin Abdul Rahman secara rasminya bersara daripada dunia bola sepak profesional dan meninggalkan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim ini.

Kaharuddin atau lebih mesra dengan sapaan Kahar itu bukan nama yang asing dalam bola sepak tanah air dan di negerinya, dia dikenali sebagai one club man buat pasukan Jang Hobin Jang.

Pemain berusia 32 tahun itu beraksi bersama pasukan senior ketika perlawanan Liga Super 2009 di antara Negeri Sembilan menentang UPB – MyTeam dan sejak itu dia sinonim dengan ketangkasan, ketabahan serta semangat juang sebagai seorang penjaga gol.

Sepanjang karier Kahar dalam dunia bola sepak profesional, dia telah pun meraih dua trofi Piala Malaysia, satu Piala FA, satu kejuaraan Liga Perdana, serta sekali Piala Sumbangsih secara keseluruhan.

Bagi Kahar, memenangi piala bersama pasukan Negeri Sembilan adalah momen yang terbaik sepanjang kerjayanya dan anak jati Kuala Pilah itu juga berhasrat untuk menjadi Jurulatih Penjaga Gol.

BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak

WhatsApp Image 2024-03-23 at 18.55.37

Kahar beraksi selama 15 tahun bersama Negeri Sembilan. — Facebook/NSFC

BACA LAGI: Pemain akademi Jerman dipanggil Juan Torres tapi fans idam permata Perak dapat peluang ke skuad B-23

"Impian saya ingin menjadi Jurulatih Penjaga Gol bagi pasukan Negeri Sembilan suatu hari nanti. Saya telah memberi sumbangan sebagai pemain, tiba masanya saya mencurahkan kembali segala ilmu dan pengalaman yang saya miliki kepada generasi baharu bola sepak Negeri Sembilan. Doakan saya berjaya.

“Pesanan saya buat pemain muda, bermainlah dengan sepenuh hati. Tanamkan keikhlasan, kejujuran dan jagalah nama baik pasukan,” katanya memetik kenyataan Negeri Sembilan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus turut memberi penghargaan kepada Kahar dengan menyifatkan beliau sebagai legenda pasukan yang sebenar.

"“Kekal setia bersama Negeri Sembilan selama 15 tahun adalah satu penghormatan.

"Hidup dan mati kerjaya bola sepak profesional beliau adalah bersama Negeri Sembilan. Terima kasih untuk 15 tahun yang gemilang.

A one club man. Legenda kelab NSFC yang sebenar. Selamat bersara, Kahar,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram