KEJOHANAN Terbuka Thailand merupakan salah sebuah pertandingan dalam jelajah Super Series anjuran Persatuan Badminton Dunia (BWF).
Pertandingan ini bagaimana pun tidak mempunyai prestij seperti Terbuka Malaysia, Terbuka China atau Terbuka Indonesia. Walaupun begitu, ia masih mempunyai sejarah tersendiri dengan para pemain perseorangan lelaki negara.
Sejak kali pertama dianjurkan pada 1984, cuma tiga kali gelaran perseorangan lelaki dimenangi oleh wakil Malaysia dan tahun ini kita berpeluang menyaksikan satu rekod tercipta di Thailand.
BACA LAGI: Pentingkah menang lawan Denmark? Zii Jia penentu raih kelebihan psikologi
BACA LAGI: 'Tidak adil kepada pemain lain', Roslin Hashim pertikai 'layanan istimewa' Lee Zii Jia
Hampir 20 tahun menanti
Dalam pertandingan ini, Malaysia mengambil masa yang lama untuk menemukan juara dalam kategori perseorangan lelaki dengan rekod hampir dua dekad dicatatkan.
Sebelum munculnya juara sulung dari negara kita, kategori perseorangan lelaki sering didominasi oleh pemain dari China dan Indonesia. Salah satunya pemenangnya adalah Hendrawan yang kini melatih barisan pemain negara kita.
Selepas 17 tahun diperkenalkan, Malaysia akhirnya mempunyai juara perseorangan lelaki apabila Yong Hock Kin memenanginya pada 2001. Kemenangan itu hadir selepas Hock Kin menewaskan pemain tuan rumah iaitu Boonsak Ponsana di perlawanan akhir.
Seorang lagi pemain negara, Datuk Lee Chong Wei turut menduduki podium dengan berkongsi tempat ketiga bersama-sama wakil Singapura, Ronald Susilo.
Hock Kin merupakan juara sulung perseorangan lelaki negara di Terbuka Thailand. — Agensi
Lalui kitaran sama
Selepas menanti 17 tahun untuk memperoleh juara sulung dalam kategori perseorangan lelaki, Malaysia cuma perlu menunggu empat tahun bagi mendapatkan johan seterusnya.
Hafiz Hashim muncul pemenang apabila merangkul gelaran sama pada 2005. Waktu itu, dia menewaskan pemain Denmark, Kenneth Jonassen di perlawanan akhir di bumi Thailand.
Hafiz memenangi Terbuka Thailand pada 2005. — Agensi
Akan tetapi, kitaran sama berlaku sekali lagi selepas kemenangan Hafiz apabila Malaysia memerlukan hampir 18 tahun untuk bertemu dengan pemenang ketiga dalam kategori tersebut.
Pada 2022, muncul Zii Jia sebagai juara selepas menumpaskan Li Shifeng di perlawanan akhir serta rakan senegara, Liew Darren pada pusingan seterusnya.
Kemenangan Zii Jia itu melengkapkan senarai hanya tiga pemenang dari Malaysia direkodkan untuk kategori tersebut.
Peluang Zii Jia pecah rekod
Zii Jia mempunyai peluang untuk memecahkan rekod yang belum pernah dibuat oleh perseorangan lelaki negara di kejohanan tersebut iaitu memenangi kejuaraan buat kali kedua.
Dengan namanya masih lagi berada dalam perebutan kejuaraan, Zii Jia berpeluang untuk melakukannya dengan syarat berjaya menghasilkan persembahan cemerlang sehingga perlawanan akhir.
Zii Jia (kanan) berpeluang merangkul gelaran Terbuka Thailand kedua dalam kariernya. — Agensi
Jika berjaya melakukannya, ia pasti akan menaikkan momentum pemain tersebut sekali gus menaikkan prestasinya yang dilihat semakin meningkat semasa Piala Thomas.
Andai Zii Jia berjaya memenanginya Terbuka Thailand, ia mungkin bukan kejohanan sebesar pertandingan lain. Tetapi ia amat penting untuk membina momentum sebelum Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram