KDN FC tidak main-main, saham import baharu lagi tinggi dari Bergson dan peledak baharu Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Muzungu (kiri) menjadi pemain termahal yang dimiliki KDN FC musim depan. — Agensi

KURANG 24 jam, separuh daripada pasukan Liga Super akan membuka tirai perlawanan pada musim ini dengan masing-masing penyokong juga tidak sabar untuk melihat kelab kesayangan mereka mendapatkan kemenangan dalam aksi pembukaan nanti.

Selain teruja dengan corak permainan yang bakal dipertaruhkan jurulatih, penyokong juga pasti tidak sabar melihat kualiti pemain import baharu lagi-lagi jika rekrut tersebut mempunyai nilai pasaran yang agak tinggi.

Nilai pasaran seorang pemain merupakan penanda ukur untuk melihat reputasi dan rekodnya bersama kelab-kelab sebelum ini. Semakin tinggi nilai berkenaan, semakin percaya penyokong terhadap kebolehannya.

BACA LAGI: Bintang buangan Penang FC dilabel hero KDN FC lepas rencatkan persiapan Terengganu

BACA LAGI: Bukan sekadar ubah nama, KDN FC enggan terus dilihat pasukan picisan

Dalam saingan Liga Super musim ini, menyaksikan empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Jalil Elias, Chico Geraldes, Jordi Amat dan Fernando Foretieri menghuni kedudukan pemain dengan nilai pasaran tertinggi.

Kehadiran pemain Harimau Selatan dalam senarai itu bukanlah satu benda biasa tetapi kemunculan nama pemain dari kelab kerdil, Kelantan Darul Naim (KDN) FC iaitu Chadrack Muzungu menjadi bualan orang ramai.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh laman Transfermarkt, pemain kelahiran CD Congo memiliki nilai pasaran setinggi 500,000 Euro (RM2.5 juta) dan berada pada kedudukan ke-8 dalam kalangan pemain di saingan Liga Super.

Lebih mengejutkan apabila kedudukan penyerang sayap kiri itu jauh lebih tinggi dari penyerang terbanyak Harimau Selatan, Bergson da Silva dan penyerang baharu Selangor FC, Ronnie Fernandez.

kdn fc

Tangkap layar data yang dikeluarkan oleh laman Transfermarkt.

Bergson dan peledak baharu Gergasi Merah itu masing-masing memiliki nilai pasaran 450,000 Euro (RM2.3 juta) walaupun kedua-duanya sebelum ini mempunyai rekod yang baik bersama kelab masing-masing.

Muzungu yang kini menjadi pemain termahal yang dimiliki KDN FC itu mempunyai pengalaman beraksi di Eropah dengan mewakili UD Almeria (Sepanyol) dan US Boulogne (Perancis) sebelum menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

Musim lalu, Muzungu tampil dalam 24 perlawanan bersama Renaissance de Berkane di Liga Maghribi dengan menjaringkan empat gol dan dua hantaran bantuan.

Selain mempunyai larian yang lincah, pemain berusia 27 tahun itu juga memilik kaki kanan yang deras apabila sering melakukan rembatan menggunakan kekuatannya itu.

Muzungu wajar menjadi pemain import tumpuan pada musim depan kerana dia pastinya akan diburu kelab gergasi Liga M jika beraksi cemerlang pada pusingan pertama Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram