Keputusan AFL beri Kelantan 'masa tambahan' daftar pemain undang pertikaian


  • Podium
  • Khamis, 16 Mei 2024

Kelantan FC beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini. — TRW Kelantan FC

SAINGAN Liga A1 Semi-Pro yang ketika ini dianggap sebagai liga divisyen dua dalam sistem bola sepak Malaysia masih belum bermula dengan sepak mula dijadualkan pada Jun.

Walaupun begitu, tempoh bagi setiap kelab bertanding untuk mendaftarkan para pemain mereka sepatutnya berakhir 14 Mei dengan kesemua pasukan perlu melakukan pendaftaran menerusi laman sistem FAM-MyPass.

Kini, badan penganjur liga, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran sehingga 24 Mei.

BACA LAGI: Kelantan belum selamat, hanya diberikan talian hayat sehingga Selasa — AFL

BACA LAGI: Sejarah aksi JDT-Kelantan ditangguh jadi sebab ramai 'back up' pendirian Selangor

Kelantan-FC

Kelantan masih dapat melengkapkan senarai 20 pemain mereka untuk musim baharu.

Keputusan diambil AFL itu telah menarik perhatian ramai terutamanya penyokong Kelantan FC. Lanjutan tarikh itu secara tidak langsung memberi 'masa tambahan' buat The Red Warriors (TRW) yang masih gagal mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain.

Lanjutan tarikh dilakukan oleh AFL itu menimbulkan pertikaian kerana ia seolah-olah 'membantu' Kelantan untuk membolehkan mereka berpeluang beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.

"Sudah, sudahlah, nampak sangat kabel besar," kata penyokong bernama Norman Alias.

"Lepas tu lanjut, lanjut, lanjut lagi tarikh sampai abang Jamil mam***," kecam Mohd Hafixan pula.

"Lanjut sampai hujung tahun saja senang," cadang Jyu Bei.

Pada masa sama, ada yang menzahirkan kerisauan jika Kelantan terus kekal beraksi dalam saingan seperti Liga A1 Semi-Pro kerana berkemungkinan isu tunggakan gaji akan timbul semula.

Malah, terdapat cadangan untuk TRW untuk mendapatkan pemain bertaraf Liga DUN supaya urusan pendaftaran dapat diselesaikan sebelum masanya.

"Zamsaham ambil saja pemain Liga DUN sajalah," cadang penyokong bernama Yahyoe Sulong.

"Kalau ada pasukan pun, buat naya saja. Dah nampak bayangan kelab tak bayar gaji pemain, staf dan setakat nak cukupkan perlawanan saja," kata Tupa Zr.

Jika Kelantan gagal mendaftarkan pemain sebelum 24 Mei ini, mereka berisiko tidak dapat beraksi dalam mana-mana saingan domestik musim ini.

Bagi Liga A1 Semi-Pro pula, saingan tersebut mungkin akan diadakan dengan format liga 15 pasukan jika Kelantan gagal mendaftarkan pemain sebelum tarikh tutup ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram