Faisal Halim pernah berguru dengan 3 legenda Manchester United


  • Podium
  • Khamis, 16 Mei 2024

Faisal kini beraksi bersama Selangor FC.

PEMAIN sayap Selangor FC, Muhd Faisal Halim dilaporkan terus menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka dibenarkan keluar hospital dalam masa dua minggu lagi.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu masih dipantau oleh pakar dan keputusan mengenainya akan dibuat bergantung kepada keadaan selepas Faisal menjalani pembedahan keempat minggu depan.

Faisal akan menjalani pembedahan 'split skin graft' (SSG) yang dijadualkan pada minggu depan selepas kejayaan tiga pembedahan sebelum ini.

BACA LAGI: Serangan ke atas pemain bola sepak mesti dihentikan — Lee Lam Thye

BACA LAGI: ‘Tangan Faisal Halim tiada refleks jangka panjang tak tepat’

Prosedur tersebut akan dilakukan dengan mengambil kulit lain di bahagian badan Faisal dan ditampal pada tempat lecuran akibat simbahan asid tersebut.

Dalam erti kata lain, penyokong tidak lama lagi mungkin akan melihat kelibat Faisal di atas padang selepas beliau berehat dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Untuk info, Faisal yang bakatnya dicungkil menerusi sebuah rancangan televisyen, Mencari Ramli pernah mendapat latihan di Manchester United pada 2014.

Dalam rancangan tersebut, Faisal menjadi lima pemain terbaik dan diberikan peluang untuk melawat Stadium Old Trafford sambil berlatih dengan para pemain United ketika itu.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 11.38.22 AM

Faisal (bersebelahan Welbeck) pernah berpeluang melawat Stadium Old Trafford.

Ketika itu, Faisal bertemu dan berpeluang untuk bergambar bersama tiga legenda United iaitu Marouane Fellaini, Ashley Young dan Danny Welbeck.

Jikalau ditanya kepada penyokong United pastinya mereka lebih mengenali tiga figura yang berkhidmat lama bersama pasukan itu dengan mencapai pelbagai kejayaan di pentas Eropah.

Itu adalah cerita sekitar tahun 2013-2014, lompat kepada 10 tahun selepas peristiwa tersebut, nama Faisal diletakkan sebagai bintang yang menjadi harapan rakyat Malaysia ketika dia beraksi untuk Harimau Malaya.

Ternyata, saat mereka sedang mencari Ramli, Faisal pula yang dijumpai dan itu adalah penemuan hebat buat bola sepak negara.

Untuk rekod, itu bukanlah kali pertama Faisal terlibat dalam program realiti pencarian bakat bola sepak. Selain Mencari Ramli, Faisal juga pernah menyertai rancangan seperti Jaguh Futsal RTM.

Akan tetapi, namanya terpaksa disisihkan kerana umurnya tidak menepati syarat untuk menyertai program tersebut walaupun bakatnya cukup cemerlang ketika uji bakat.

Selain itu, Faisal juga pernah menyertai Soccer Kids dan menjadi antara pemain terbaik dihasilkan oleh program tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram