BEKAS penyerang skuad Harimau Malaya, Guilherme De Paula sah bersara dari dunia bola sepak profesional selepas kali terakhir beraksi untuk Melaka FC dalam Liga M3 pada musim lalu.
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, De Paula memuat naik gambar pasukan yang pernah diwakilinya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sambil menuliskan kapsyen terima kasih.
De Paula atau lebih dikenali sebagai Zulhelmi oleh kalangan peminat bola sepak tempatan mungkin merindui suasana bergemanya Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan laungan nama pemain berusia 38 tahun itu.
BACA LAGI: Manuel Ott sudah tidak macam dulu, Nik Sharif disebut-sebut pengganti ideal
BACA LAGI: Sudah ada permata baharu, magis hantaran Azam Azih tetap jadi pilihan fans Tok Gajah
Bagi menghargai pengorbanan De Paula dalam industri bola sepak Malaysia, Majoriti senaraikan kejuaraan yang pernah dikecapi pemain naturalisasi kebangsaan itu sepanjang beraksi di negara ini:
1. Selangor FC (2015)
Pemain berusia 38 tahun kelahiran Brazil itu memulakan karier di Malaysia bersama Selangor pada musim 2015 yang mana dia berjaya membantu skuad Gergasi Merah memenangi Piala Malaysia buat kali ke-33.
Dalam 32 penampilan bersama Gergasi Merah, De Paula berjaya menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan yang disertai pasukan Selangor.
Gandingan De Paula dan Hazwan Bakri antara momen yang tidak boleh dilupakan oleh penyokong Selangor apatah lagi semasa final Piala Malaysia pada 2015 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
2. PDRM FC (2016)
Walaupun tidak menjuarai apa-apa trofi bersama, PDRM, De Paula pernah menjuarai penjaring terbanyak Piala Malaysia 2016 dengan tujuh jaringan gol.
Ketika itu De Paula berjaya membantu PDRM layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2016 sebelum tewas di tangan Kedah dengan agregat 1-2.
Dalam Liga Super pula, PDRM berada di kedudukan tempat ke-11 dengan merekodkan 11 kekalahan, enam seri dan lima kemenangan dalam 22 perlawanan.
3. Kuala Lumpur City (2017)
Kuala Lumpur City berminat membawa De Paula ke Stadium Cheras selepas prestasi yang agak baik bersama PDRM FC pada musim 2017.
Ketika itu, Kuala Lumpur yang beraksi dalam Liga Perdana menandatangani penyerang prolifik yang mempunyai rekod baik bersama Selangor dan PDRM sebelum ini.
Tiga musim bersama The City Boys, De Paula telah merekodkan 66 jaringan dalam 76 perlawanan yang menyaksikan mereka menjuarai Liga Perdana pada 2017.
De Paula sekali lagi berjaya merangkul trofi penjaring terbanyak Liga Perdana 2017 dengan 27 jaringan.
Tahun 2017 juga, De Paula mendapat anugerah kesebelasan terbaik FAM.
4. Johor Darul Ta'zim (2021)
Sejak menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2021, tidak banyak De Paula boleh menyumbang buat Harimau Selatan selepas sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Namun begitu, De Paula merasai pengalaman manis untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan menjuarai Liga Super 2021.
De Paula hanya tampil dalam lima perlawanan bersama Harimau Selatan sebelum dipinjamkan ke Melaka FC pada musim 2023.
5. Harimau Malaya (2021)
De Paula memulakan debut bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beraksi penuh selama 90 minit.
Bersama Harimau Malaya, De Paula tampil dalam 12 perlawanan dengan satu jaringan dan satu assist ketika Malaysia menewaskan Brunei dengan keputusan 4-0 pada 2022.
Pencapaian terbaik De Paula ialah ketika membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit di Stadium SNBJ pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram