Serangan ke atas pemain bola sepak mesti dihentikan — Lee Lam Thye


  • Massa
  • Ahad, 12 Mei 2024

Selangor kini kehilangan Faisal Halim (tengah) selepas menjadi mangsa simbahan asid.

PENGERUSI Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye, mahu serangan terhadap pemain bola sepak baru-baru ini dihentikan bagi mengelakkan budaya keganasan di negara ini.

Lam Thye berkata, kredit harus diberikan kepada pihak polis yang telah bekerja keras menyiasat bagi mencari keadilan buat mangsa.

"Kita kena tanamkan semangat empati terhadap kes sebegini.

"Malangnya ketika seorang pemain bola sepak masih menerima rawatan akibat melecur asid, ada pihak yang mengatakan kejadian itu adalah perkara biasa dalam bola sepak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (12 Mei).

BACA LAGI: Sedih menang dengan cara begini — TMJ

BACA LAGI: ‘Tangan Faisal Halim tiada refleks jangka panjang tak tepat’

Beliau mengulas serangan baru-baru ini terhadap tiga pemain bola sepak profesional, termasuk Faisal Halim, yang disimbah asid.

"Menyerang sesiapa adalah satu perbuatan jenayah dan tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa.

"Masyarakat Malaysia seharusnya lebih matang dan mempunyai belas kasihan terhadap nasib pemain (Faisal) kerana kecederaan itu berpotensi memusnahkan kariernya," jelasnya.

Dilaporkan bahawa pemain kebangsaan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, mengalami serangan asid pada 5 Mei lalu di sebuah pusat beli-belah sekitar Kota Damansara.

Punca di sebalik serangan itu masih tidak diketahui.

Gambar kecederaannya tular di media sosial dan orang ramai terkejut apabila kejadian seperti itu boleh berlaku kepada pemain bola sepak negara.

Faisal Halim

Kecederaan yang dialami Faisal Halim.

Sebelum itu, rakan sepasukan Faisal di kem kebangsaan, Akhyar Rashid, disamun di Kuala Terengganu sehingga mengalami luka dan lebam serta kerugian RM5,000.

Pada Selasa (7 Mei), bekas kapten negara, Safiq Rahim pula menjadi mangsa oleh dua lelaki tidak dikenali yang memecahkan cermin belakang keretanya di Johor Bharu.

Pemain berusia 36 tahun itu yang bermain untuk juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT), mendedahkan kejadian itu di akaun media sosialnya dengan memuat naik laporan polis dan gambar kenderaan yang rosak itu. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram