[VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Miguel Oliveira antara pemain yang berjaya menjaringkan gol ketika DPMM FC menewaskan Guangxi Pingguo Haliao pada 20 April lalu. — Facebook/DPMM FC

KEHANGATAN kejohanan Selangor KUSEL Asia Challenge (SAC) 2024 kian terasa apabila empat pasukan bakal bertanding bagi membuka tirai perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Jumaat.

Mengikut jadual perlawanan, pasukan Balestier Khalsa FC (Singapura) akan menentang juara Lao League 1, Young Elephants FC (Laos) pada pukul 5 petang sebagai aksi pembukaan SAC 2024 sebelum tuan rumah, Selangor turun bertemu Brunei DPMM FC (Brunei) di sebelah malam.

Untuk info, ia merupakan kejohanan edisi kedua SAC yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Selangor selepas kali terakhir di Stadium Shah Alam pada 2020.

Pihak pengurusan menjemput tiga pasukan dari rantau Asia untuk menjadi pesaing Gergasi Merah bagi merebut trofi SAC yang diperbuat 100 peratus daripada Piuter yang ditempa secara istimewa oleh Royal Selangor.

BACA LAGI: 'Kiko Insa jemput saya sertai keluarga Harimau Selatan'

Mungkin DPMM FC bukanlah sebuah pasukan gah di rantau Asia selepas sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelab itu sering menumpang beraksi dalam Liga Singapura untuk mencari aksi kompetitif bagi kebaikan eko sistem bola sepak Brunei.

Namun begitu, DPMM FC merupakan antara pasukan yang digeruni dalam Liga Singapura selepas dinobatkan sebagai juara pada musim 2015 dan 2019.

Tetapi pada musim lalu, DPMM FC tidak merekodkan pencapaian yang baik selepas menghuni tangga ketujuh dengan mencatatkan 13 kekalahan, lima seri dan hanya enam kemenangan dalam 24 perlawanan terakhir.

Melihat rekod buruk yang dicatatkan DPMM FC, pemiliknya Putera Mahkota Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah segera melakukan penambahbaikan dengan membawa masuk beberapa pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Singapura musim depan.

Pihak pengurusan DPMM FC telah membawa masuk empat pemain import baharu iaitu Patrick Flottmann (Australia), Farshad Noor (Afghanistan), Miguel Oliveira (Portugal) dan Gabriel Gama (Brazil).

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal ulangi kejayaan skuad 2018, ada 3 faktor penting mungkin penyebab Harimau Muda tersungkur di Qatar

DPMM FC

DPMM FC berjaya menewaskan Guangxi Pingguo Haliao dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei pada 20 April lalu. — Facebook/Aseanfootball

Perancangan yang dibuat oleh pihak pengurusan DPMM FC itu menunjukkan peningkatan positif apabila mereka berjaya menewaskan kelab China, Guangxi Pingguo Haliao dengan keputusan 3-1 sebelum terbang ke Malaysia untuk menyertai SAC 2024.

Ia sekali gus memberikan gambaran bahawa perlawanan Selangor menentang DPMM FC akan menjadi sengit memandangkan kedua-dua pasukan,empunyai rekod baik semasa aksi pramusim.

DPMM FC turut diperkuatkan dengan 10 bintang yang mewakili pasukan kebangsaan Brunei sekali gus akan menghadirkan saingan sengit buat anak-anak buah Nidzam Jamil kerana Gergasi Merah baru berjaya melengkapkan skuad selepas kepulangan pemain-pemain Bawah-23 Tahun (B-23) negara.

Menjadi persoalan adakah Nidzam Jamil berjaya membantu Gergasi Merah menewaskan DPMM FC di hadapan penyokong sendiri selepas dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram