KEPUTUSAN Selangor FC untuk tidak beraksi dalam Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat (10 Mei) telah mendapat reaksi daripada Malaysian Football League (MFL).
Dalam kenyataan dikeluarkan oleh MFL pada Khamis, mereka mengumumkan Piala Sumbangsih bagi musim 2024/2025 telah dibatalkan dan perlawanan pertama liga antara kedua-dua kelab berakhir dengan kemenangan 3-0 buat JDT kerana Selangor menarik diri (walkover).
MFL juga akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi membincangkan tindakan seterusnya mengenai apa yang dilakukan Selangor.
BACA LAGI: Faisal tiada musuh, sama macam saya — Bapa
BACA LAGI: ‘Tak cacat pun Piala Sumbangsih kena tangguh dulu’
Terdapat khabar angin mengatakan Selangor bakal menerima hukuman berat seperti pemotongan 12 mata serta dilucutkan status sebagai wakil Malaysia di kejohanan Asia.
Namun begitu, MFL perlu melihat perkara tersebut pada pandangan yang lebih luas. Memetik siaran pemerhati bola sepak, Zuraimi Zukri, badan penganjur liga itu tidak perlu terlalu menghukum Gergasi Merah.
Menurutnya, Selangor sememangnya didapati bersalah kerana ingkar arahan untuk bermain di Piala Sumbangsih dan selayaknya dihukum. Tetapi, MFL perlu memahami kenapa tindakan itu dibuat.
"Selangor telah melakukan satu kesalahan iaitu ingkar dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL). Selangor perlu mematuhi jadual perlawanan, turun bermain pada hari Jumaat di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan liga dan Sumbangsih.
"Ini adalah kesalahan yang jelas dan Selangor wajib dikenakan hukuman. Selangor sedar mereka melakukan kesalahan dan bersedia untuk itu.Tetapi bagaimana kesalahan itu boleh berlaku? Pemain bintangnya juga bintang negara, Faisal Halim telah menerima serangan jenayah tahap tinggi," kata Zuraimi.
Kata Zuraimi, Selangor hanya melakukan kesalahan kecil kerana mereka telah membuat segalanya mengikut saluran betul. Sebelum menarik diri, Gergasi Merah ada meminta agar perlawanan tersebut ditangguhkan.
Tindakan menarik diri itu tidak disenangi oleh MFL. Badan penganjur liga itu dilihat tidak mampu mengawal situasi tersebut dengan baik terutamanya ketika memastikan keputusan menang-menang diraih oleh JDT dan Selangor.
"MFL gagal meredakan kemarahan dua gergasi ini dan gagal mencari jalan atau memahami keputusan mana yang terbaik boleh dicapai. Jika mahu ditunda, MFL perlu meyakinkan JDT ia adalah keputusan terbaik dan jika mahu diteruskan, MFL perlu menyakinkan Selangor.
"MFL juga perlu mengambil tanggungjawab kerana mereka gagal menguruskan kes berprofil tinggi itu dengan baik. Atas sebab itu MFL tidak boleh menghukum Selangor di tahap maksima atau sebetulnya tidak lebih dari separuh hukuman maksima," dakwaZuraimi lagi.
Tambah Zuraimi, MFL tidak sepatutnya melucutkan hak bermain di Asia buat Selangor kerana mereka meraihnya secara merit dengan menjadi naib juara Liga Super musim lalu.
MFL perlu bijak menangani situasi ini, jika hendak memberikan hukuman biarlah ia untuk mendidik dan memberi pengajaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram