Dia selamatkan kami, kalau tidak Arsenal dah muncul juara — Guardiola


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Ortega (kiri) menyelamatkan percubaan Son (dua dari kanan). — Agensi

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji persembahan penjaga golnya iaitu Stefan Ortega dalam memastikan kemenangannya sewaktu berdepan Tottenham Hotspur.

Dalam aksi yang diadakan di Tottenham Hotspur Stadium pada Ahad, City berjaya membenam Spurs dengan kemenangan 2-0 bagi membolehkan drama perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dibawa sehingga perlawanan terakhir.

Dua jaringan Erling Haaland memberikan kemenangan buat City tetapi bagi Guardiola, tiga mata tidak akan hadir sekiranya Ortega gagal beraksi cemerlang di pintu gol.

BACA LAGI: Bukan saja di Malaysia, isu rumput punca Man City, Real Madrid seri

BACA LAGI: [VIDEO] Pep Guardiola terkejut 'budak milo' Manchester City jaring gol debut dalam perlawanan UCL

WhatsApp Image 2024-05-15 at 07.59.53

Ortega menggantikan Ederson di separuh masa kedua. — Agensi

"Dia selamatkan kami. Jika tidak, Arsenal akan jadi juara. Itulah realitinya. Jurangnya sangat kecil.

"Ya Tuhan, waktu dia selamatkan percubaan Son Heung-min, itu memang hebat. (Dalam) satu-lawan satu, Ortega adalah penjaga gol terbaik pernah saya saksikan dalam hidup saya. Ia adalah budaya orang Jerman, teruskan berdiri, jangan rebah," kata Guardiola.

Ortega beraksi menggantikan penjaga gol utama, Ederson Moraes yang cedera di separuh masa kedua. Walaupun dia adalah penjaga gol kedua, tetapi persembahannya masih berkualiti dalam memberikan kemenangan buat City.

Ia dapat dilihat apabila Ortega berjaya memenangi situasi satu lawan satu berdepan Son yang menjadi detik penting kemenangan City di utara London.

Kemenangan tersebut membolehkan City mendahului Arsenal dalam carta EPL dengan mengutip 88 mata, dua mata di depan The Gunners.

City mempunyai kelebihan untuk meraih satu lagi kejuaraan liga di bawah kendalian Guardiola jika mereka berjaya menang ke atas West Ham United pada aksi terakhir liga.

Sementara Arsenal yang bertemu Everton, wajib menang sambil mengharapkan City sekurang-kurangnya keciciran mata untuk menjadi juara berdasarkan kelebihan jaringan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram